Dap Jangan Campur Tangan, Ini Soal Keselamatan Negara – Dr Shamsul Anuar
KUALA LUMPUR, 11 Okt – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berharap agar PDRM akan terus bertegas dan pimpinan Dap jangan menghalang atau menggunakan pengaruh tertentu untuk PDRM melaksanakan tugas mereka.
Beliau berkata, ketegasan PDRM dalam tindakan berhubung penahanan dua ADUN Dap mesti diberikan pujian kerana soal keselamatan negara dan rakyat kita tidak boleh kompromi.
“Maknanya, tidak kira sesiapa jika disyaki atau dibukti melakukan kesalahan tindakan mesti diambil mengikut undang-undang yang ada. Rakyat dan negara mesti diutamakan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Semalam, dua ADUN Dap termasuk seorang daripadanya Exco Kerajaan Negeri dan beberapa individu lain telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam gerakan pengganas global Harimau Pembebasan Tamil Elam, (LTTE)
“Ini adalah berita memeranjatkan. Ini bukan perkara ringan atau kes biasa. Penahanan ini saya percaya tiada kaitan dengan isu perkauman atau mahu menekan mana-mana parti politik. Ini soal keselamatan.
“Perkara ini mesti disiasat sedalamnya oleh pihak berkuasa, dan tindakan tegas mesti segera diambil. Ini kerana individu yang ditahan adalah mereka yang berpengaruh misalnya, Exco Kerajaan Melaka, G Saminathan juga ADUN Dap Gadek dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, serta beberapa individu lain.
“Saya yakin mereka yang ditahan di bawah SOSMA oleh anggota PDRM tentunya selepas intipan dan siasatan rapi yang dibuat sekian lama.”
Pastinya, kata beliau, pembabitan beberapa pemimpin Dap dalam gerakan ekstremis antarabangsa seperti pengganas LTTE, membimbangkan rakyat.
“Kita juga bimbang dengan tahap keselamatan rahsia negara. Mungkinkah ia dibocorkan kepada pihak-pihak berkepentingan di peringkat antarabangsa? Adakah segala perbualan, dan dokumen strategik negara kini tidak lagi selamat?
“Segalanya kita serahkan kepada pihak PDRM. Namun persoalanya, apakah penahanan dua ADUN itu merupakan ‘tip of the iceberg’ kepada ramai lagi anggota atau pemimpin Dap yang terlibat dalam gerakan ekstremis kepengganasan?”
Dalam masa yang sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong membidas Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng (LGE) ekoran dilihat seakan mencampuri kes tersebut.
“Kenyataan LGE bahawa PDRM memberi jaminan tiada lagi pimpinan Dap akan ditahan memperlihatkan seolah-olah LGE mahu mencampuri urusan PDRM. PDRM diharap jangan takut dengan sebarang perkara kerana keselamatan negara amat penting.
“Kita juga minta dan saya percaya rakyat Malaysia menuntut penjelasan dari Dap kerana isu LTTE ini melibatkan sebahagian pimpinan dan ahli mereka dan kita harap Dap tidak campur tangan dalam siasatan PDRM, kerana ia juga suatu peluang Dap membuang semua pemimpin dan ahlinya daripada sebarang unsur keganasan.”
Ujarnya, jika Dap campur tangan ia akan dilihat seolah-olah Dap tidak mahu isu ini diselesaikan dan ada sesuatu yang ingin dilindungi.
“Persoalan penting yang perlu dijawab oleh Kerajaan PH, apakah Malaysia di bawah Malaysia Baharu kini menjadi sel atau negara satelit kepada aktiviti pengganas global?” – UMNO ONLINE