Menteri PH Menangis? 100 Ribu Pesawah Masih Diabai… Lebih Menangis Kenang Masa Depan – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob amat kesal atas kegagalan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) membekalkan benih padi sah kepada pesawah.

Menurut Ahli Parlimen Bera itu, kira-kira 100,000 pesawah terjejas di Kedah dan Perlis apabila benih padi bersubsidi yang sepatutnya telah selesai dihantar dua minggu lalu tetapi sehingga ke hari ini masih belum diterima di mana sepatutnya penanaman sudah bermula pada akhir September atau awal Oktober.

Sehubungan itu, Ismail mendesak Menteri Pertanian, Datuk Salahuddin Ayub bertanggungjawab atas hal tersebut dengan mengambil tindakan segera.

“Perlu diingat! Jika pendapatan pesawah terjejas akibat kegagalan membekalkan benih, maka ianya akan memberi tekanan lebih besar kepada pesawah kerana tambahan pula awal tahun depan anak-anak pesawah akan memulakan persekolahan.

“Jadi tidak cukup sekadar menteri untuk menangis! Pastinya pesawah akan lebih menangis mengenangkan masa depan mereka serta keluarga mereka,” tegas Ismail yang juga Naib Presiden UMNO dalam satu kenyataan.

Jelas bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu lagi, MOA telah menetapkan jadual penanaman berdasarkan ‘rice check’ yang dikeluarkan kepada pesawah untuk dipatuhi bagi meningkatkan hasil padi.

“Namun kelewatan dan gagal menyediakan benih padi sah ini akan menjejaskan jadual penanaman padi yang pasti menjejaskan hasil padi mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, isu benih padi sah telah pun dibangkitkannya dua minggu lalu selepas pertemuan dengan Persatuan Pengilang Padi Bumiputera Malaysia dan Persatuan Pengilang Sino-Malay Kedah.

“Walaubagaimanapun sehingga kini tiada respon dari pihak kementerian.

“Kegagalan MOA untuk membekalkan benih padi sah ini pasti akan menjejaskan pendapatan pesawah yang terdiri dari golongan miskin,” ujarnya lagi.

Ini berbeza ketika MOA di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), katanya.

“Dahulu kerajaan BN telah menyediakan Program Insentif Benih Padi Sah ini bermula dari tahun 2006 lagi.

“Atas keprihatinan kerajaan BN, dalam Bajet 2017, RM1.3 Bilion diperuntukkan untuk subsidi harga padi, benih padi dan baja padi termasuk padi bukit.

“Ini juga merupakan usaha bagi membantu pesawah mengurangkan kos pengeluaran padi serta menggalakkan mereka menggunakan benih padi sah yang berkualiti, bermutu tinggi, rintang penyakit dan mengurangkan padi angin,” jelasnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit