Garis Tengah: Antara Keutamaan Dan Keseimbangan

Muafakat Nasional telah mula bergerak menyelusuri ke setiap pelusuk negara menerusi pelbagai program dan aktiviti terutama ceramah yang melibatkan pimpinan UMNO dan PAS. Sambutan dan penerimaan rakyat terhadap program yang dianjurkan cukup memberangsangkan. Apatah lagi masing-masing di peringkat negeri, bahagian, kawasan dan juga cawangan mengambil inisiatif mengadakan ceramah dan wacana yang melibatkan pimpinan setempat dan negeri termasuklah menggandingkan pimpinan di peringkat pusat.

Minggu lepas, ketika sepentas dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada program Ceramah Perdana Muafakat Nasional Negeri Perlis. Saya telah tegaskan bahawa “Saya tidak melihat di manakah ‘ektremis’ dalam mana-mana ucapan pemimpin mahupun presiden PAS. Insya-Allah kita akan menunjukkan Islam adalah agama yang sederhana dan menjaga semua agama dan semua bangsa”.

Menjadi tanggungjawab semua memperjelaskan kepada rakyat secara konsisten bahawa Muafakat Nasional adalah keseimbangan dan kesederhanaan garis tengah antara dua kutub ekstrem iaitu berlebih-lebihan (ifrath) dan bermudah-mudahan (tafrith).


Dalam Perlembagaan Persekutuan jelas menekankan prinsip keseimbangan,kesederhanaan dan keadilan. Contohnya Islam adalah agama Persekutuan, tetapi agama lain dibenarkan untuk diamalkan dengan aman dan harmonis. Hakikatnya, orang Melayu memiliki kesedaran yang tinggi dengan watak keseimbangan. Sebutan kata gandingan rohani-jasmani, jiwa-raga, zahir-batin, dunia-akhirat dan seumpamanya jelas mengindikasikan kesedaran tersebut.

Kegagalan membina watak yang mampu membezakan antara keutamaan, keseimbangan dan keadilan dalam kehidupan dan politik akan mengagalkan misi membangunkan watak (character building) yang terbaik kalangan rakyat khususnya pemimpin dan politikus. Akibat daripada kegagalan tersebut akan membawa kepada gejala kerosakan sepertimana yang digariskan oleh Mahatma Gandhi tujuh dosa besar pembawa kehancuran iaitu kekayaan tanpa bekerja, kesenangan tanpa hati nurani, ilmu tanpa watak, perniagaan tanpa etika, sains tanpa kemanusiaan, politik tanpa prinsip dan agama tanpa pengorbanan.

Politik tanpa prinsip akan mencetuskan kecelaruan dan ketidakstabilan dalam diri dan parti. Pendekatan politik berprinsip Rasulullah SAW yang meletakkan keseimbangan dan keadilan sebagai keutamaan telah melahirkan tokoh pimpinan yang terhebat seperti Khalid Ibn al-Walid, Saad Abi Waqqas, Abu Ubaidah al-Jarrah, Tariq Ziyad, Saab Ib Abi Waqas dan lain-lain. Baginda SAW berjaya mewujudkan budaya politik yang berasaskan ilmu, fakta dan kebenaran, mengelak sama sekali politik perselisihan dalaman dan kalangan rakyat, apatah lagi yang melibatkan kepentingan ummah, bangsa dan agama.

Menjadi keperluan dan tuntutan kepada pejuang UMNO memahami antara keutamaan (Awlawiyat) dan keseimbangan (Muwazanat) senario politik semasa. Keutamaan UMNO kini, memastikan rakyat memahami mesej Muafakat Nasional dan memastikan penyatuan ini dipertahankan. Penganjuran program bersama antara UMNO dan PAS amat digalakkan dan diperlukan.

Di masa yang sama menjadi keutamaan Barisan Nasional dan PAS berpadu tenaga bagi memastikan Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai berjalan lancar dan kita menawan kembali Parlimen tersebut. Terima kasih kepada kepimpinan PAS kerana menyerahkan mandat kepada Barisan Nasional menentukan parti dan calon yang akan bertanding. Parti mana bertanding dan siapa calonnya akan ditentukan secara konsensus berdasarkan timbang tara yang seimbang dan mengambil kira pelbagai aspek.

Keutamaan membangkitkan isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara perlu dilakukan secara berterusan. Isu dividen 2% Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tahun 2018 kepada pencarumnya, jelas membuktikan kegagalan kementerian menguruskan kepentingan rakyat dengan baik. Rakyat dan pencarum perlukan penjelasan yang tuntas apakah faktor utama yang menyebabkan agihan dividen terlalu rendah. Satu tindakan yang dangkal dan sempit jika sekadar menyalahkan kerajaan terdahulu. Sedangkan selepas PRU-14, kerajaan telah menukar kakitangan pengurusan dan ahli lembaga Boustead dan LTAT termasuk melupus, menjual aset dan kepentingan Boustead dan LTAT. Persoalannya Ke mana hasil penjualan aset tersebut dibelanjakan? Untuk membayar hutang negara? Jangan pulak “untung secupak, rugi segantang” hutang negara bertambah, aset pulak semakin berkurangan. Kerajaan yang bertanggungjawab akan berusaha dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dan perlu diseimbangkan bukan sekadar retorika politik semata-mata tanpa tindakan.

Pemberatan yang tidak seimbang antara harapan dan tindakan menjadi salah satu faktor penolakan rakyat kepada kerajaan hari ini. Walaupun senario tersebut memberikan kelebihan kepada UMNO dan PAS tetapi langkah berwaspada dan berhati-hati dalam setiap tindakan perlu diutamakan. Selayaknya roh Muafakat Nasional (#HPU914) sudah mampu memperteguhkan kesatuan dan keutuhan dalaman UMNO.

Bagi menjaga keharmonian bersama kita elakkan berlakunya desakan, berbeza pandangan dan perdebatan secara terbuka yang mengelirukan ahli dan rakyat. Jadikan perbezaan pandangan sebagai satu rahmat bagi mencari solusi yang terbaik. Berikan ruang kepada kepimpinan membuat penilaian dan memutuskan yang terbaik berdasarkan kepada kemaslahatan bersama dan mengikut saluran yang betul bagi mengelak berlakunya spekulasi politik yang keterlaluan yang akan melemahkan parti.

Semangat mengutamakan yang utama, seimbang berteraskan keadilan dan secara konsensus menjadi pemberat kepada saf kepimpinan UMNO dan BN dalam membuat sesuatu keputusan apatah lagi keputusan yang melibatkan kepentingan rakyat khususnya orang Melayu. UMNO terbuka dan bersedia bersinergi dengan mana-mana parti politik, NGO dan individu yang seiring dengan perjuangan UMNO demi agama, bangsa dan tanah air. Kita beriltizam menjadikan gelombang kebangkitan agenda Muafakat Nasional merakyat dan keutamaan untuk terus disemarak, diperjuang dan dipertahankan selamanya oleh UMNO-PAS serta rakyat keseluruhannya.

AHMAD ZAHID HAMIDI
#muafakatnasional
#demiummah
#akhiratdidepan

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.