Pelaburan Tidak Munasabah? Tapi Dividen Tinggi 9 Tahun Berturut-turut – Najib


KUALA LUMPUR, 1 Okt – Bekas Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak membidas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang beralasan pelaburan tidak munasabah yang dijalankan oleh kepimpinan terdahulu telah menyebabkan rendahnya dividen untuk ahli Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi tahun kewangan 2018.

“Tapi kita telah memberi dividen yang tinggi untuk 9 tahun berturut-turut masa saya PM. Purata dividen dan bonus tahunan sepanjang tempoh ini adalah 14.1% setahun.

“Kenapa pula kita tidak mengalami situasai “pelaburan tidak munasabah” sepanjang tempoh itu?

“Memang langsung tiada kaitan dengan pasaran saham Malaysia yang paling corot dalam dunia dan ekonomi Malaysia yang terus merosot selepas PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) ke? Soal Najib dalam satu hantaran di Facebook.

Semalam, LTAT mengumumkan dividen kepada ahlinya hanya 2.0 peratus (%) bagi tahun 2018.

Untuk rekod, kerajaan Barisan Nasional (BN) di era Najib, dividen dan bonus LTAT pada tahun 2009 adalah sebanyak 14%, 2010: 14%; 2011: 15%; 2012: 16%; 2013: 16% 2014; 15%; 2015; 12%; 2016: 12%; dan 2017: 12.5%.

Justeru tambah Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, pasti rakyat akan ternanti-nanti prestasi LTAT bagi tahun berikutnya di bawah Pakatan Harapan (PH).

“Tak apa. Kita tengok bulan Mac tahun depan berapakah dividen LTAT untuk tahun 2019.

“Kerana saya tengok harga saham pelaburan utama Boustead masih belum memulih dan masih 67% di bawah harga sebelum PRU14 sedangkan sudah masuk bulan Oktober,” katanya.

Tahun lalu, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Pan) pernah berjanji untuk mengisytiharkan dividen LTAT pada bulan Februari tahun ini seperti amalan tahun-tahun sebelum tetapi gagal isytiharkannya.

Kemudian Mohamad yang popular dengan panggilan Mat Sabu berjanji sekali lagi akan mengumumkannya pada Jun atau paling lewat Julai tahun ini tetapi tetap gagal berbuat demikian. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.