Hargailah Jasa ATM… PH Jangan Cipta 1,001 Alasan, Ambil Jalan Mudah Jual Aset – Dr Noraini
KUALA LUMPUR, 1 Okt – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak seharusnya memberi pelbagai macam alasan untuk membolehkan dividen dibayar begitu rendah kerana ia melibatkan wang caruman daripada anggota tentera di negara ini, tegas Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr Noraini Ahmad.
Katanya, apabila pembayaran dividen dibuat dengan rendah, ia seolah-olah menghina serta tidak menghargai jasa anggota dan pegawai tentera.
“Justeru, kerajaan perlulah mengkaji semula segala aktiviti korporat di LTAT bagi mengembalikan kegemilangan badan itu seperti mana yang pernah mereka kecapi ketika di era pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Kajian itu hendaklah dibuat secara menyeluruh dan bukannya secara terburu-buru hingga menggunakan jalan mudah dengan melepaskan kepentingan aset-aset penting milik LTAT.
“Kita tidak mahu, para pencarum terbeban sekiranya penjualan aset-aset tersebut mencatatkan kerugian dan bukannya keuntungan,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, negara dikejutkan dengan pengumuman berita pembayaran dividen LTAT iaitu hanya pada kadar dua peratus (2%).
Kadar tersebut merupakan satu berita yang memeranjatkan kerana ia sangat rendah berbanding kadar dividen yang pernah diumumkan oleh kerajaan BN sebelum ini, ujar Dr Noraini.
Seterusnya, Dr Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong bimbang mengenai pendapatan LTAT yang semakin menurun.
“Tidak cukup dengan itu, Pengerusi LTAT iaitu, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin juga mengumumkan bahawa pendapatan bersih belum audit pada 2018 juga hanya mencatatkan angka sebanyak RM221 juta berbanding RM459.5 juta pada 2017 iaitu penurunan sebanyak 51.9 peratus.
“Ini merupakan satu perkembangan yang membimbangkan kerana status LTAT sebagai salah sebuah syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) yang besar sebaris dengan KWSP, PNB, Tabung Haji dan Khazanah.
“Sudah semestinya apabila prestasi kewangan sebuah GLIC yang besar tidak memberangsangkan, ia sekaligus memberi gambaran bahawa sumber kewangan negara diuruskan secara tidak baik,” tambahnya.
Justeru Dr Noraini mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) haruslah mengutamakan kebajikan warga angkatan tentera dan bukannya mencipta pelbagai alasan.
“Kepentingan pencarum hendaklah dijadikan keutamaan. Cari jalan penyelesaian dan bukannya memberi seribu satu helah untuk terus membenarkan prestasi kewangan LTAT mencatatkan angka tidak memberangsangkan.
“Bak kata bidaan Melayu, bertindak biarlah berakal. Menurut biar pintar,” bidasnya lagi. – UMNO ONLINE