Veteran UMNO, Assabiqun PAS Tekad Mantapkan Agenda Muafakat Nasional

KUALA LUMPUR 30 Sept – Pengerusi Veteran UMNO dan Assabiqun PAS Pusat tekad bersama-sama pucuk pimpinan kedua-dua parti melaksanakan agenda Muafakat Nasional.

Menurut Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa, adalah menjadi tugas kedua-dua entiti parti itu untuk terus memastikan Muafakat Nasional menjadi realiti, segar dan tidak ada pihak yang cuba menganggu-gugat permuafakan tersebut.

“Veteran dan Assabiqun ingin melihat perpaduan, kemajuan negara dan semua hal ini elok.

“Kita tak nak ada pandangan negatif atau ‘kuman-kuman’ yang boleh menyebabkan Muafakat Nasional ini terjejas atau dipandang tidak baik.

“Kedua-dua pihak membincang dan menyusun program-program di peringkat pusat, negeri, bahagian dan juga kawasan untuk memantapkan lagi Muafakat Nasional,” katanya kepada media selepas pertemuan bersama Assabiqun PAS di Bangunan UMNO Lama, di sini hari ini.

Tambahnya, kewujudan Muafakat Nasional juga merupakan satu nikmat dan mampu memberikan banyak kebaikan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.

Sementera itu Pengerusi Assabiqun PAS Pusat, Subky Abdul Latif yang juga menyatakan sokongan penuh pembentukan Muafakat Nasional dan melaksanakan apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan.

“Kita juga bersetuju membentuk satu jawatankuasa bersama yang dipengerusi oleh Datuk Othman Desa dan saya serta beberapa orang anggota dari kedua-dua pihak.

“InsyaAllah… kami akan mengadakan satu sidang khas untuk menjelaskan dan menyatakan pendirian tentang falsafah piagam Muafakat Nasional dan akan diadakan sebelum menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019,” jelasnya lagi.

Mengenai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Veteran UMNO dan Assabiqun akur apa yang diputuskan oleh pimpinan tertinggi dan tekad membantu bagi kemenangan parti.

“InsyaAllah… apa yang diputuskan oleh pimpinan parti maka kami akur dan sudah semestinya veteran dan Assabiqun akan turun dan bantu agar calon Tanjung Piai akan menang.

“Kami masih bersemangat walupun umur sudah 60 tahun ke atas tapi semangat kami masih kuat ingin membantu,” kata Othman. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.