Muafakat Nasional ‘Singgah’ Di Perlis, Makin Segar Dan Terus Bersemarak

KANGAR, 30 Sept – Muafakat Nasional yang diisytihar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Himpunan Penyatuan Ummah 14 September lalu  (#HPU914) telah bergerak menyelusuri ke setiap pelusuk negara menerusi pelbagai aktiviti terutama ceramah yang melibatkan pimpinan UMNO dan juga PAS.

Masing-masing di peringkat negeri mahupun bahagian dan juga cawangan mengambil inisiatif mengadakan ceramah yang melibatkan pimpinan setempat dan negeri termasuklah menggandingkan pimpinan di peringkat pusaat.

Malam tadi, bertempat di Dewan Wawasan, Kangar, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sepentas pada program Ceramah Perdana Muafakat Nasional Negeri Perlis.

Penduduk setempat termasuk kalangan penyokong kedua-dua parti memenuhi Dewan Wawasan termasuklah persekitaran dewan tersebut yang tentunya ingin melihat dan mendengar secara dekat perkembangan terkini Muafakat Nasional.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama antara UMNO dan PAS tentunya dicemburui oleh pihak tertentu malah dilontarkan dengan pelbagai tanggapan termasuk ‘Taliban’ dan sebagainya lagi.

“Saya tidak melihat di manakah ‘ektremis’ dalam mana-mana ucapan pemimpin mahupun presiden PAS. Insya-Allah kita akan menunjukkan Islam adalah agama yang sederhana dan menjaga semua agama dan semua bangsa.

“Allah swt telah memberikan rahmat dengan penyatuan ummah ini. Piagam yang telah ditandatangani pada 14 September lalu atas kertas… Persefahaman (MOU) atas kertas… tetapi bagaimana kita mahu menterjemahkan kerjasama ini kepada seluruh rakyat. Apa pun percayalah, kita tidak akan pinggirkan dan menindas agama dan bangsa lain,” katanya.

Tambah Zahid lagi apa yang penting istiqamah dan insya-Allah akan melakar sejarah baru politik di Malaysia dan hari ini sejarah baru terukir di Perlis, mudah-mudahan memberikan makna yang besar.

14 September, tercatat sejarah yang cukup besar apabila UMNO dan PAS mengisytiharkan pembentukan Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

Piagam berkenaan ditandatangani oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan PAS pula diwakili oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejurus selesai ucapan kedua-dua presiden parti berkenaan di Dewan Merdeka pada Himpunan Penyatuan Ummah. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.