Khalid Nak Jadi Batu Api, Tak Malu Ke? – Ka Siong

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad sememangnya aktif dalam media sosial.

Sering kali apabila timbul sesuatu isu melibatkan parti pembangkang, beliau akan menghias garis masa Twitter dan Facebook miliknya dengan sindiran-sindiran sinis.

Terbaharu, beliau menyindir UMNO apabila Ahli Majlis Tertinggi parti itu, Datuk Lokman Noor Adam mencadangkan supaya calon MCA diletakkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang akan diadakan nanti.

“Melayu! Melayu! Melayu! Hidup Melayu! Melayu ditindas! Islam terancam! Bangkit Melayu! Melayu bersatu! Undi MCA ya. Hahahaha,” tulis Pengarah Biro Komunikasi
Parti Amanah Negara (Amanah) itu dalam laman Twitter miliknya.

Sindiran itu dibidas Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang menyifatkan Khalid sebagai seorang hipokrit.

Kata Ka Siong, Khalid tidak perlu menjaga tepi kain orang kerana partinya sendiri mempunyai banyak masalah.

“Khalid nak jadi batu api? Nak lagakan semua parti pembangkang? Nak perli atau nak caci? Untuk apa? Nampak sangat berniat jahat!

“Khalid, jangan jaga tepi kain orang! Tengok parti sendiri. 148 mesyuarat agung tahunan (AGM) cawangan dan sayap Amanah terbatal. Tak malu ke?” soalnya melalui akaun Facebook miliknya hari ini.

Ka Siong turut bertanya tentang perkembangan rancangan-rancangan yang pernah diumumkan Khalid untuk negara sebelum ini.

“Tumpukan kerja kamu sebagai menteri. Di mana pelaburan RM1.6 trilion dari Qatar seperti yang pernah diumumkan? Dah lesap ke?

“Ya tak ya, apa cerita dan perkembangan cryptocurrency Harapan Coin? Untung banyak ke?” katanya. – UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.