Tanjung Piai Dan Nilai Baru Dalam Berpolitik

BERPULANGNYA Allahyarham Datuk Wira Dr Mohamad Farid Mohamad Rafik adalah kepulangan yang menyedihkan.

Saya dan seluruh rakan-rakan kepimpinan dalam UMNO mengucapkan takziah dan rasa dukacita yang sangat mendalam kepada keluarga besarnya.

Semoga Allah menempatkan Allahyarham di tempat paling baik disisi-Nya.

Kepada bonda Allahyarham, Puan Norma Mohammad, yang semua kami kenali, insyaAllah anakandanya Husnul Khotimah jua.

Dengan pendidikan yang baik, peribadinya baik, ilmunya di manfaatkan dengan baik dan seluruh hidupnya untuk kebaikan, insyaAllah kematiannya juga penuh kebaikan.

Kedua, nasihat saya kepada pelbagai penganalisis politik dan pelbagai parti politik, janganlah kita begitu ghairah dengan pelbagai ramalan tentang pilihan raya kecil Tanjung Piai ini.

Kita seolah-olah lupa bahawa ada isteri, anak-anak, ibu ayah dan keluarga yang baru sahaja kehilangan orang yang mereka cintai.

Politik tidak boleh mengatasi kemanusian kita. Dan politik mesti dipandu oleh nilai dan sentuhan manusiawinya.

Lalu tundalah dulu segala analisis anda, komen anda dan apa jua pandangan politik anda dan beri ruang untuk tempoh duka itu sedikit berlalu.

Ketiga, pelbagai spekulasi, justifikasi dan telahan telah di sebar luas tentang parti mana yang harus bertanding dengan pelbagai nama diutarakan.

Kepada semua mereka ini, hanya satu pesan saya. Anda semua masih terperangkap dalam paradigma ‘pemikiran politik’ sempit.

Memberitahu UMNO dan PAS bahawa oleh kerana kami telah mengetengahkan agenda Muafakat Nasional, maka kami harus memberikan laluan kepada MCA untuk membuktikan kami mendukung politik multicultural adalah sangat dangkal.

Anda masih tidak boleh keluar dari pemikiran poliik dari lensa kaum yang sempit. Bahawa kawasan tertentu mesti diwakili oleh kaum tertentu dan parti tertentu.

Muafakat Nasional mesti mematikan paradigma cetek dan kolot ini.

Hanya calon terbaik yang mesti ditonjolkan di Tanjung Piai. Calon yang kita bermuafakat dan bersetuju, bahawa dia mempunyai potensi, kemahiran, wibawa dan tenaga yang boleh mencorak dan membangunkan Tanjung Piai.

Calon yang mewakili semua UMNO, MCA, PAS, MIC dan sesiapa juga yang bernaung di bawah lembayung Muafakat Nasional. Calon ‘semua untuk semua’.

Kita mahu seorang yang kompeten dan berwibawa. Yang boleh bersuara bagi masyarakat Tanjung Piai, mengenali Tanjung Piai, dan faham denyut nadinya.

Muafakat Nasional mesti bersedia untuk melakukan anjakan drastik dengan nilai baru ini.

Nilai yang mendahulukan perwakilan terbaik di Parlimen, bukan parti terkuat, atau bangsa terbesar, atau persefahaman politik yang lapuk.

Jika tidak, Muafakat Nasional dan rakannya Barisan Nasional akan terus terbelenggu dengan formula politik yang tidak lagi realistik seperti Pakatan Harapan.

Akhirnya, harapan saya agar Tanjung Piai adalah tentang pertembungan ‘politik sederhana dan pertengahan’ yang sihat, demi Malaysia yang lebih demokratik. – UMNO ONLINE

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (MKN)
Naib Presiden UMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.