Kongres Maruah Melayu? Tapi Diteraju Orang Tak Bermaruah… Khianat Perjuangan

KUALA LUMPUR, 19 Sept. – Aktivis Anak Johor (MUDA) mempertikaikan berkaitan satu program, ‘Kongres Maruah Melayu: Amanat Tun Mahathir’ yang dijadualkan berlangsung 6 Oktober depan ekoran menimbulkan tanda tanya yang besar dikalangan rakyat khususnya orang Melayu.

Bercakap dalam satu kenyataan media, MUDA berkata, jika dilihat, tulang belakang kepada kongres ini ialah pemimpin dipihak kerajaan namun ada beberapa faktor yang perlu dipertikaikan.

“Kongres yang bermaruah apabila menyediakan jawapan kepada segala lingkaran permasalahan orang Melayu seperti peluang pekerjaan, memperbaiki taraf kehidupan, mengurangkan kos sara hidup, menjaga kepentingan Melayu-Islam dan kemajmukan negara serta tidak malu mengakui teras kepada negara ini ialah bangsa Melayu. Barulah Melayu itu bermaruah, bukan murah,” katanya.

Berikut ialah beberapa faktor mengapa Kongres ini perlu dipertikaikan:

Pertama, penganjur jangan sesekali menjaja nama Tun Mahathir, Perdana Menteri Malaysia. Rakyat sedia maklum, Tun Mahathir bukan Ultra-Melayu dan tidak menjaga kepentingan Melayu. Pesona beliau juga tidak suka perkara yang hanya menguntungkan orang Melayu semata-mata. Malah beberapa siri kenyataan beliau tidak memihak kepada orang Melayu.

Melayu malas, Melayu hanya tahu bergantung, menentang kempen ‘Buy Muslim First’ dan terbaru seperti yang dikeluarkan oleh The Star, PM’s Answer To Racial Politics’ pada 18 September 2019, Tun Mahathir mengatakan tidak akan ada politik perkauman kalau rakyat Malaysia melupakan asal usul dan berdiri sebagai rakyat Malaysia. Ia gambaran orang Melayu bukan teras kepada negara ini.

Dan jika benar Tun Mahathir terlibat secara langsung dalam kongres ini, adakah beliau bersedia dilabel sebagai rasis oleh pemegang taruh beliau dari kalangan bukan Melayu?

Kedua, adakah kongres ini mempunyai tujuan untuk berlawan dengan Himpunan Ummah? Yang menyaksikan termetrainya Piagam Muafakat Nasional yang menyaksikan 2 parti terbesar orang Melayu-Islam berhenti bertelagah dan berikrar untuk menjaga hak dan kepentingan Melayu-Islam serta asas negara tanpa mengetepikan kemajmukan negara. Jika kongres ini tanpa kesepaduan dengan melibatkan Muafakat Nasional, maka apa matlamat sebenar kongres ini?

Mahukah penganjur melihat sekali lagi orang Melayu bertelagah kerana kepentingan individu yang iri hati melihat ternoktahnya pertelingkahan melalui Muafakat Nasional? Rasanya sudah cukuplah naratif politik dan masa hadapan orang Melayu ditentukan untuk memuaskan kepentingan individu sematamata.

Ketiga, bagaimana penganjur menggunakan tema ‘Maruah Melayu’ jika tulang belakang kepada kongres Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Dr. Latiff Ahmad dan Dato’ Mustapa Mohamed ini adalah dari kalangan orang yang tidak mempunyai maruah mengkhianati perjuangan.

Mereka tidak mempunyai maruah dan semangat melawan apabila memilih melompat parti dan mengkhianati pengundi. Maka, apa nilai maruah yang mahu ditonjolkan?

Yang dikatakan bermaruah itu apabila kekal yakin pada perjuangan membela rakyat tidak kira dikala menang atau kalah. Seharusnya, ‘orang-orang lama’ tunjukkanlah contoh yang baik kepada ‘orang-orang muda’, kami muda, tetapi tidak bodoh menerima segalanya bulat-bulat. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.