Tiada ‘Hari Gelap Malaysia’, Muafakat Nasional Untuk Rakyat – Shamsul Anuar


KUALA LUMPUR, 16 Sept. – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menegaskan tiada “Hari Gelap Malaysia” sebagaimana Presiden Gerakan nyatakan apabila Piagam Muafakat Nasional ditandatangani UMNO PAS.

Katanya, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Gerakan tiada lain tujuannya melainkan hanya mahu Gerakan terus dilihat wujud.

“Muafakat Nasional adalah untuk rakyat Malaysia. Ia demi kebaikan rakyat tanpa mengira kaum. Oleh itu, mari bersama Muafakat Nasional demi Malaysia yang sejahtera,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sabtu lalu, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mendakwa penyatuan UMNO dan PAS melalui Piagam Muafakat Nasional adalah hari gelap bagi negara kerana ia akan membawa negara kepada masyarakat yang berpusat kepada bangsa Melayu.

Hakikatnya, kata Dr Shamsul Anuar, Gerakan yang tewas teruk semasa PRU14 sudah kehilangan pengaruh.

“Kewujudannya kini hanya dirasai melalui kenyataan media Presidennya sahaja. Sebab itu pelbagai kenyataan dilakukannya.

“Nasihat saya pada Gerakan kembalilah pada realiti sebenar. Perbaiki dan perbetulkan parti sendiri kerana Gerakan akan terus berada dalam kegelapan jika tidak mengubah sikap.

“Pendekatan Gerakan tidak akan menambahkan sokongan kaum Cina sebaliknya orang Melayu Bumiputera akan terus menolak Gerakan. Dan Gerakan akan terus lenyap.”

Jadi, katanya, kalau Gerakan mahu kembali berpengaruh, tidak cukup hanya melalui kenyataan media.

“Malah, kenyataan sebegitu juga memperlihatkan Presiden Gerakan tidak memahami isi kandungan Piagam Muafakat Nasional. Baca dan teliti dahulu kandungannya sebelum membuat ulasan,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit