Anak Muda Sokong Penyatuan Ummah, Permusuhan UMNO-PAS Cerita Lama – Zahida

 

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan berkata, cerita permusuhan antara UMNO dan PAS adalah cerita ‘orang lama’ dan ia sudah menjadi sejarah.

Jelas beliau, sebagai anak muda pemangkin negara pada masa hadapan, apa yang dititik beratkan kini adalah membina masa depan bersama-sama dalam penyatuan antara kedua-dua parti Islam terbesar ini.

“Puteri dan Ameerah sangat mengalu-alukan usaha permuafakatan antara UMNO dan PAS. Sebagai anak muda, kami rasa inilah langkah terbaik untuk membina masa depan bersama.

“Siapa sangka dua perti yang bermusuhan sekian lama akan berbaik kembali. Ibarat adik-beradik yang terpisah kini bertaut kembali,” ujar beliau ketika berucap dalam program Pentas Anak Muda anjuran Puteri UMNO dan Ameerah PAS bersempena dengan Himpunan Penyatuan Ummah (#HPU914) di PWTC hari ini.

Mengulas berkaitan kerjasama antara Puteri dan Ameerah ujar Zahida, ini bukanlah kali pertama mereka bekerjasama.

“Kerjasama antara Puteri dan Ameerah telah bermula pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis. Cuma pada awal itu agak ‘malu’. Namun selepas itu program demi program mengeratkan ukhuwah kami.

“Lebih manis hasil gerak kerja terusun telah memberi kemenangan manis berturut-turut di tiga PRK iaitu Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau,” ujar beliau lagi.

Selain itu Zahida turut melahirkan harapan agar rakyat dapat membuka mata untuk melihat sendiri kepincangan kerajaan baru di bawah pentadbiran PH.

“Banyak perkara yang dilakukan dipertikaikan contohnya apa jadi dengan kes arwah Adib? Apa jadi dengan kes ADUN Dap Perak yang terlibat kes rogol?

“Jadi anak muda harus menilai bagaimana corak pentadbiran PH ini,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit