Pemuda UMNO Terengganu Tentang Keras Pengabungan UMT Unisza

KUALA NERUS 12 Sept. – Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu menentang keras usaha menggabungkan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang kesannya akan menguncupkan proses perkembangan kedua-dua universiti awam itu.

Penolong Setiausaha pergerakan itu, Muhammad Hanafi Hassan berkata, institusi pendidikan tinggi dan rakyat tidak sewajarnya dijadikan mangsa atas sebab ketidakupayaan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menguruskan negara atas alasan untuk berjimat.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Nerus memberitahu, UniSZA dan UMT merupakan dua buah IPTA kian pesat membangun selain menjadi teras pendidikan tinggi Terengganu.

Penubuhan fakulti perubatan dan pembinaan hospital Pengajar UniSZA yang telah mencapai kemajuan 75% penyiapan perlu dilihat sebagai penanda aras terhadap perkembangan UniSZA itu sendiri.

“Manakala UMT adalah sebuah IPTA dan pelopor dalam bidang Sains Samudera (kini dikenali Teknologi Kejuruteraan Kelautan) yang turut melalui proses perkembangan yang besar.

“Ketika pentadbiran kerajaan UMNO-BN terdahulu, UMT dan UniSZA diberi ruang seluasnya untuk berkembang termasuk mengembangkan kampus masing-masing di Besut (UniSZA) dan Marang (UMT) selain terus mengekalkan kampus asal di lokasi asalnya, ” katanya dalam kenyataanya malam tadi.

Beliau berkata, sekiranya sesebuah entiti pendidikan seperti UMT dan UniSZA dibiarkan berkembang dengan bebas, kesan baik adalah berkadar lansung dengan perkembangan universiti tersebut.

Jelas beliau, dalam mana-mana proses penggabungan, kesan paling ketara adalah pengurangan tenaga kerja dan penggabungan ini sudah pasti akan melibatkan pemberhentian atau penamatan kontrak kakitangan.

“Perlu diingat, kesan negatif yang amat ketara antaranya akan berlaku pemberhentian dan penamatan kontrak kakitangan-kakitangan kedua-dua IPT tersebut ekoran pengecilan operasi dan pengecilan jumlah pengambilan pelajar setahun.

“Akibatnya, negara akan kekurangan tenaga-tenaga pakar dalam bidang kritikal seterusnya akan membantutkan perkembangan dalam bidang-bidang tersebut. Apakah keadaan ini suatu manfaat kepada rakyat?,” soal Muhammad Hanafi. – UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.