Tergugatkah Negara Dengan Kerjasama UMNO-PAS? – Dr Zambry


SEMAKIN banyak serangan yang dilakukan terhadap kerjasama (ta’awun) UMNO dan PAS yang akan termeterai pada 14.9.2019. Semua kritikan dari kumpulan parti yang memerintah dan gerakan NGO tertentu, serta penulis/kolumnis di portal berita sosial media menganggapnya sebagai menggugat keamanan dan kemakmuran negara.

Ia dikatakan sebagai hari yang malang buat negara setelah 62 tahun merdeka. Ia dituduh membangkitkan rasisme dan ekstremisme agama yang bakal menjerumuskan negara seperti di Timur Tengah.

Dahsyat sungguh gambaran dan gerakan pembantaian yang dilakukan hampir setiap hari. Seolah-olah bila termeterainya secara rasmi hubungan ta’awun politik UMNO-PAS ini maka berakhirlah era Malaysia yang aman, makmur dan sejahtera.

Dari segi sejarah, ia mengingatkan kita tindakan-tindakan halangan, kawalan dan cengkaman (inhibitive, restrictive and oppressive) yang dilakukan oleh Penjajah British ketika pelbagai persatuan dan pertubuhan Melayu mahu membentuk sebuah pertubuhan bernama UMNO bagi menentang Malayan Union pada tahun 1946.

British begitu takut dengan kebangkitan kesedaran dan kesatuan rakyat menentang kehendaknya yang mahu membentuk sistem politik penjajah, liberal demokratik berbanding dengan parti-parti siasah tempatan yang lebih bersifat nasionalis-Islamis dan gerakan kiri.

Pihak British kemudiannya mengenakan pelbagai laluan sukar agar kesatuan yang dibina oleh orang Melayu ketika itu akhirnya terlerai.

Namun kemuncak kepada kesungguhan British memperkenalkan Malayan Union pada tahun 1946, disusuli ugutan yang dibuat terhadap Raja-raja Melayu dan pemimpin-pemimpin Melayu, ia menjadi gerakan lautan manusia menolak rancangan penjajah British itu.

Bagi menghalang kebangkitan rakyat pribumi, selepas peristiwa 1946, British perkenalkan pelbagai undang-undang seperti Banishment Ordinance 1948, The Restricted Residence Bill 1948, The Societies Bills 1949, The Printing Presses Bill 1948, the Sedition Act 1948, the Undesireable Publication Bill 1949.

Akhirnya British mengisytiharkan Darurat (Emergency) pada 1948, dan mengharamkan antaranya parti PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) dan Hizbul Muslimin.

Kebimbangan yang disuarakan terhadap ta’awun UMNO dan PAS ini samalah juga dengan kebimbangan pembangkang ketika sebelum pilihanraya PRU-14, bila mana pelbagai sangkaan buruk dan telahan dibuat bahawa sekiranya BN kalah maka akan berlaku huru hara dalam negara.

Malah yang lebih ekstrim lagi mengatakan bahawa BN akan menggunakan tentera dan polis untuk menghalang pihak pembangkang membentuk kerajaan.

Tapi apa yang berlaku adalah pertukaran kerajaan yang aman. Dan Dato Seri Najib dengan penuh “gentleman” menyerahkan kuasa sebagai menghormati kehendak rakyat.

Akibat daripada serangan bertubi-tubi terhadap ta’awun UMNO-PAS ini, maka muncul dua fenomena yang sangat serius sedang dihadapi oleh orang Melayu dan Islam di Malaysia iaitu Melayu-phobia dan Islamophobia.

Melayu-phobia berkait dengan usaha ke atas segala hal-ehwal dan perbincangan tentang nasib dan masa depan bangsa dianggap sebagai rasis. UMNO, PAS dan beberapa gerakan NGOs menjadi mangsa serangan ini.

Naratif orang Melayu sebagai bangsa terawal yang mendiami negara dipertikaikan; peruntukan hak-hak keistimewaan diperdebatkan; kedudukan Raja-raja Melayu sebagai institusi pemerintahan dipersoalkan; Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan diperlekehkan.

Ia diserang bertahun-tahun lamanya oleh kumpulan sekularis, chauvinis dan liberal sehinggalah kini.

Mereka juga melakukan serangan secara simbiotik (symbiotic) iaitu dengan menghalakan kepada UMNO dan PAS yang menjadi parti orang Melayu dan Bumiputra. Mereka tahu ia tidak boleh secara langsung menyerang orang Melayu, tetapi dengan menyerang parti orang Melayu (UMNO 3 juta ahli dan PAS hampir 1 juta) ini seperti “pukul anak, sindir menantu”, maka orang Melayu tidak begitu terasa.

Islamophobia yang selama ini dicanangkan di Barat turut dipalu gendangnya dengan begitu rancak sekali selepas Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14). Seperti biasa apa yang kita dengar dan lihat ialah semuanya dikaitkan dengan UMNO dan PAS, yang kononnya memberi gambaran menakutkan terhadap Islam.

Tetapi dalam masa yang sama mereka mempersoalkan dan menetapkan versi Islam yang boleh dan tidak boleh diamalkan di Malaysia; siapakah penceramah yang boleh bercakap, yang boleh atau tidak boleh dijemput; apakah kandungan ucapan mufti yang sesuai atau yang tidak sesuai; ketidakwajaran istilah kafir, shariah disebut dan diulang-ulang dalam konteks Malaysia; Nabi Muhammad dan Islam dituduh penyebar keganasan; azan Subuh perlu dikurangkan kerana mengganggu orang lain; jawi dan khat adalah usaha proses pengislaman; dan banyak lagi insiden yang lantang menyentuh tentang Islam.

Dalam keadaan ini pula LKS (Lim Kit Siang) sekali lagi mencipta satu naratif baru hasil dari kerjasama UMNO-PAS iaitu dengan menggelarnya sebagai kemunculan’ klepto-theocracy’.

Klepto adalah dari istilah ‘kleptocracy’ iaitu sebuah kerajaan yang dipimpin oleh pemimpin korup yang mengeksploit harta negara untuk kepentingannya. Ia dipopularkan dan dipalu habis-habisan oleh LKS dan Dap sebelum PRU14 sehingga tumbangnya BN. Setiap hari diulang-ulang sehingga rakyat percaya dan kemuncaknya adalah peristiwa 1MDB.

‘Theocracy’ pula adalah pemerintahan golongan agama, para ulama dan mullah, yang meletakkan Tuhan sebagai kuasa tertinggi melalui perlaksanaan hukum shariah. Ia dianggap bertentangan dengan falsafah sekularime yang memisahkan agama dan pemerintahan. ‘Theocracy’ ini khusus dirujuk kepada PAS.

Dalam hampir setiap tulisan LKS akan diselitkan dengan istilah ‘klepto-theocracy’ ini. Puncanya ialah dari kerjasama UMNO-PAS yang dilihatnya akan mewujudkan sebuah kerajaan yang penuh dengan segala kejahatan dan menggunakan Islam sebagai alat untuk mencapai matlamat.

Kit Siang mencipta istilah ini dengan katanya “klepto-theocracy is a political doctrine in Malaysia which misuses Islam to support thievery, corruption, intolerance, bigotry, lies and falsehood” (klepto-theocracy adalah suatu doktrin politik di Malaysia yang menyalahgunakan Islam bagi menyokong kerja mencuri, korupsi, tidak bertolak ansur, ketaksuban, pembohongan, dan kepalsuan).

Dalam kaca mata propaganda LKS, setiap kenyataan dan tindakan pemimpin UMNO dan PAS yang mengkritik Dap atau kenyataan menolak kerjasama dengan Dap serta fenomena “Bossku” adalah bukti ‘klepto-theocracy’. Justeru, setiap langkah dan tindakan UMNO dan PAS akan ditafsirkan sebagai ‘klepto-theocracy’.

Serangan dan tekanan terhadap kerjasama ini menunjukkan dengan jelas pemikiran neo-kolonial (neo-colonial thinking) yang gagal memahami sejarah dan konteks.

Ia samalah seperti tindakan Stamford Raffles (1781–1826) yang menganggap pemerintah-pemerintah Melayu sebagai “oppressive rulers”(pemerintah yang menindas); Frank Swettenham (1850-1946) dan Hugh Clifford (1866-1941) memperlekehkan negeri-negeri Melayu sebagai tidak mempunyai institusi politik (no political institutions). Raja-raja Melayu pula dianggap menjalankan pemerintahan autokrasi dan rakyat tidak mempunyai hak memiliki tanah.

Serangan terhadap ta’awun juga menggambarkan bahawa proses demokrasi hanya berlaku sekiranya UMNO dan PAS tidak berkerjasama dan terus berpecah. Manakala kalau UMNO dan PAS bekerjasama maka akan wujudlah sebuah kerajaan ‘klepto-theocracy’ yang sama keadaannya seperti Iraq, Syria, Afghanistan dan lain-lain.

Namun apa yang dapat kita saksikan hari ini ialah bangkitnya suatu semangat keinsafan di pelbagai peringkat untuk mencari dan membina politik nasional yang lebih mantap sesuai dengan negara Malaysia dan penduduknya. Ini dapat dilihat dalam beberapa perkara ta’awun UMNO-PAS.

Pertama, semangat ta’awun UMNO-PAS ini tumbuh secara organik dan subur dari baja kesedaran yang tidak dibuat-buat atas nama persefahaman politik semata-mata. Ia adalah ‘real’ (nyata), dan tidak lahir dari fantasi dan imaginasi liar.

Kedua, UMNO dan PAS bukan parti yang baru berada dalam pentas politik nasional. UMNO ditubuhkan pada tahun 1946 dan menjadi pemerintah selama 61 tahun, manakala PAS (ditubuhkan pada 1951) memerintah Kelantan lebih 30 tahun, pernah memerintah Kedah dan kini kali kedua Terengganu.

Dengan segala asam garam, jatuh bangun, UMNO dan PAS telah membuktikan sekian lama amalan dan budaya politik demokrasi dalam negara ini. Ia mempunyai sejarah, konteks, perspektif, relevansi, dan arah-tuju (direction) yang terbina sepanjang perjalanan kewujudan mereka dalam politik tanahair.

Ini bertentangan sama sekali dengan pandangan ekstrim pihak PH yang menganggapnya sebagai cubaan mewujudkan negara Taliban, perang terhadap bukan-Islam, dan akan wujud jerangkap samar politik (internal explosive devices) yang cuba menyamakan Malaysia akan menjadi seperti Iraq, Syria, Yemen, dan Bahrain.

Ketiga, UMNO dan PAS pasti akan mengemukakan naratif politik nasional yang relevan dengan sejarah, konteks, demografi, dan lanskap politik. Mereka tidak akan terjerumus ke dalam kejumudan dan beretorik dengan slogan dan simbol kosong sekiranya mereka mahu menjadi alternatif yang lebih baik daripada kerajaan PH yang ada hari ini.

Hala politik mereka perlu terus mengukuhkan landasan politik demokrasi dan menerima realiti kepelbagaian agama dan kaum.

Keempat, UMNO dan PAS tentunya akan menyediakan tawaran-tawarannya (the new deals) kepada rakyat Malaysia melalui pengalaman dan pengamatan serta penglibatan mereka kepada rakyat selama ini. Ia pasti tidak akan membuat tawaran-tawaran palsu, janji-janji yang tidak tertunai seperti kegagalan yang dilakukan oleh kerajaan sekarang.

Tawaran-tawaran untuk membina sebuah negara yang demokratik, dengan nilai-nilai keadilan, kesederhanaan, belas ihsan (compassion), memelihara maruah setiap warga, pembasmian kemiskinan, mengurangkan jurang ketaksamaan, dan menolak faham kebebalan sejarah yang mendorong chauvinisme kaum.

Kelima, UMNO dan PAS harus lebih fokus kepada gerak kerja dan tidak terikut dengan gendang serangan PH. Serangan berterusan PH pula akan membawa kehilangan dimensi politik yang lebih komprehensif di kalangan mereka.

Rakyat mahukan jawapan kepada segala janji dan ingin melihat politik yang lebih baik untuk masa depan Malaysia. Namun mereka masih terperangkap dalam sindrom pembangkang yang berterusan memberi alasan menuding jari kepada regim lama.

Dalam masa yang sama, tanpa sedar, rumah mereka sendiri mengalami proses kecelaruan dan anai-anai politik. Sebagai contoh, pandangan simplistik Dap terhadap PAS yang kononnya sudah hilang tokoh-tokoh moderat kerana telah berhijrah ke parti lain. Tetapi ia gagal melihat bagaimana kumpulan yang dikatakan ‘moderat’ itu adalah satu ‘gerakan alami’ yang berjaya menyusup dan menguasai tempat dan jawatan penting dalam kerajaan mereka.

Mereka ini telah mencuba pelbagai cara berada dalam parti PAS dan UMNO tetapi kurang berjaya. Kini mencapai matlamat kuasa dalam pemerintahan PH. Apa yang akan mereka lakukan selepas ini, masa akan membuktikan.

Keenam, keadaan politik sosial demokratik dan pluralisme (social democratic pluralism) yang menentang politik Melayu-Islam (Malay-Islamic politics) dan mengasaknya sehingga menimbulkan keresahan adalah suatu keadaan yang sebenarnya berbahaya.

Prof Amy Chua dalam buku terbarunya Political Tribes mengingatkan perkara ini: “ when groups feel threatened, they retreat into tribalism. They close ranks and become more insular, more defensive, more punitive, more us-versus-them”. (Apabila sesebuah kumpulan mulai merasa terancam, mereka akan beralih kembali kepada fahaman kumpulan. Mereka memantapkan barisan dan menjadi lebih insular, lebih defensif, lebih menghukum, dan meningkatnya rasa kita-lawan-mereka)

Akibat serangan terhadap UMNO dan PAS, ia semakin membuka tingkap keresahan. Dalam waktu yang sama pintu penyatuan dua parti yang diserang ini semakin terbuka.

Sepatutnya dalam impian baru PH untuk melihat ruang demokrasi yang lebih luas, kewujudan persefahaman dan kerjasama politik seperti UMNO-PAS ini dialu-alukan. Apabila Dap sanggup menerima PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) suatu ketika dulu, apakah yang mengejutkan pula bila UMNO dan PAS boleh bekerjasama.

Ketujuh, apabila kekhuatiran terhadap hubungan UMNO-PAS menjadi suatu konstruk politik ketakutan (politics of fear) yang dicanang oleh PH, maka ia membawa kepada suasana yang tidak baik kepada pihak PH sendiri, seolah-olah mahu menjuarai dan memonopoli kebenaran (monopoly of truth).

Hari ini rakyat sudah lebih terbuka dan pintar membaca antara propaganda dan kebenaran. Manipulasi data untuk menunjukkan kehebatan pemerintahan yang ada juga akan diperdebatkan secara terbuka. Rakyat akan lebih berusaha mencari kebenaran di sebalik serangan bertubi-tubi terus dibuat ke atas usaha ta’awun UMNO-PAS.

Orang seperti LKS dan sepemikiran dengannya akan terus melancarkan serangan propaganda terhadap usaha ta’awun UMNO-PAS ini sehingga pilihan raya akan datang.

Namun UMNO dan PAS perlu membuktikan bahawa kerjasama yang dibina ini merangkumi sekalian rakyat, merentasi etnik dan agama. Dan ia perlu membuktikan bahawa politik mereka adalah politik kesederhanaan, berimbang di tengah titik timbang, berkebajikan, wasatiyyah, hadari, dan demokratik.

Tanggal 14.9.2019 akan terakam sejarah kerjasama dan perpaduan ummah dua parti terbesar Melayu-Islam dan sekaligus membina landskap politik baru merangkumi muafakat nasional pelbagai kaum atas falsafah, nilai dan etos politik baru.

Oleh itu jauhi prejudis kaum dan agama. Perpaduan ummah UMNO-PAS atas nama ta’awun adalah ikhtiar untuk membina Malaysia yang aman, makmur, inklusif, progresif, dan bertoleransi dengan menerima hakikat sejarah dan konteks Malaysia.

Dan kedua-dua parti ini tidak bermula di atas dulang yang kosong. – UMNO ONLINE

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir
Ahli Majlis Tertinggi UMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit