#HPU914: Tiada Apa Yang Pelik Tentang Penyatuan Ummah UMNO Dan PAS – Ustazah Nuridah
KUALA LUMPUR, 10 Sept – Ketua Muslimat PAS Pusat, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, tidak ada apapun yang pelik berkaitan penyatuan ummah antara UMNO dan PAS kerana hakikat sebenarnya kedua-dua parti ini memang mempunyai hubungan iaitu hubungan bangsa, agama dan juga persaudaraan.
Malah jelas beliau, Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz juga pernah berkata sanggup membubarkan parti PAS sekiranya UMNO mengamalkan Islam yang sebenarnya.
“Ketika berucap di markas PAS di Taman Melewar, Tuan Guru pernah cakap kalau UMNO nak buat Islam betul-betul, kita bubar PAS. Betapa besarnya jiwa pemimpin PAS maka tidak ada yang pelik dengan penyatuan ini.
“Penyatuan ini sememangnya menjadi hasrat arwah Tuan Guru sendiri,” ujar beliau ketika menjadi tetamu jemputan dalam program Wacana Himpunan Penyatuan Ummah yang bertajuk ‘Wanita Penggerak Penyatuan Ummah’ bersama-sama Ketua Muslimat Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr. Noraini Ahmad yang disiarkan secara langsung menerusi facebook UMNO-Online, malam tadi.
Tambah Nuridah, inilah hikmah kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.
“Kami berharap dengan kelebihan UMNO dan kekuatan PAS maka kita dapat menjadikan negara ini lebih bermaruah dan bermartabat.
“Sebab sekarang ini rakyat sudah tidak selesa dengan pentadbiran Pakatan Harapan (PH). Saya juga berharap agar kepimpinan PH terutamanya Perdana Menteri sedar, mereka menang dengan undi manusia dan ini adalah satu amanah. Sebagai orang Islam, ini adalah amanah Allah.
“… saya berdoa agar Allah buka pintu hati mereka tunjukkan yang benar adalah benar… yang salah adalah salah dan mereka dibimbing agar menjauhi yang salah. Mereka ada kuasa jadi gunakan sebaik mungkin demi survival ummah itu sendiri,” ujar beliau lagi.
Mengulas berkaitan program Himpunan Penyatuan Ummah (#HPU914) yang bakal berlangsung pada 13 dan 14 September ini jelas beliau, orang ramai tanpa mengira parti politik dan bangsa dijemput hadir beramai-ramai ke PWTC kerana program ini adalah untuk rakyat.
Katanya, pelbagai program telah diatur sepanjang dua hari itu termasuklah program daripada kedua-dua sayap parti UMNO dan PAS. – UMNO ONLINE