Bantuan Makanan Kepada Pelajar… Tidak Mustahil PH Akan U-Turn Lagi – Jamil Khir

HANG TUAH JAYA, 9 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata program makan percuma untuk pelajar sekolah yang dianjurkan Regim Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk mengawal perbelanjaan negara.

Selaras itu, katanya, tidak mustahil PH akan membuat u-turn lantaran hasrat mereka pada tahun hadapan untuk memberi anak-anak sekolah rendah bantuan makanan percuma yang melibatkan seramai 2.7 juta pelajar.

“Jangan risau kalau bab duit saku untuk ke sekolah tahun depan kerana kerajaan PH telah mengumumkan terdapat makanan pagi percuma untuk 2.7 juta pelajar di Malaysia, tapi hal ini bertentangan dengan hasrat mereka kononnya nak mengawal perbelanjaan negara dengan mengurangkan pelbagai belanja.

“Mungkin akan ada lagi u-turn akan dibuat memandangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pun selalu buat silap… salah titik perpuluhan, selalu salah kira sampaikan hutang negara pun dikata 1 trilion, kita tak tahu dari mana ia kira… selama ini ingatkan hebat sangat semasa bersyarah tapi kira-kira pun lemah,” katanya.

Jamil Khir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah merasa agak pelik kerana tidak sepatutnya Guan Eng bersikap defensif dengan mengeluarkan kenyataan yang salah untuk mengelirukan orang ramai.

“Kita kalau tak kalah tak tahu yang mereka menipu… kita tak tahu ramai menteri yang tak ada sijil, masa nak bertanding diletaknya sijil tapi rupa-rupanya sijil itu dialamatkan di kedai kek.”

Jelasnya, ada hikmah disebalik kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu kerana terdapat beberapa menteri dan timbalan menteri yang membohongi rakyat sekian lama.

“Mereka tiada sijil akademik tapi menipu… ini adalah etika yang buruk untuk diteladani.”

Kata beliau, negara ini memerlukan modal insan berkualiti untuk mentadbir, menggubal dasar negara dan ia menjadi contoh kepada rakyat. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.