Hijrah Proses Yang Berterusan

Kita baru sahaja meraikan hari Kemerdekaan Negara ke-62 dan tahun baharu Hijrah 1441. Kedua-dua peristiwa itu amat besar ertinya kepada rakyat Malaysia secara amnya dan umat Islam khasnya.

Watak dan tamadun umat Islam diperteguhkan dengan penghijrahan Rasulullah SAW. Peristiwa ini juga menjadi anjakan peradaban manusia, tanpa terikat dengan umat satu agama, tetapi peristiwa ini memberikan satu kesan yang amat besar kepada manusia berkaitan dengan kesejagatan dalam membina negara. Tiga teras utama yang menjadi keutamaan Rasulullah SAW iaitu:

• Membina masjid sebagai asas pembinaan masyarakat Islam, menghidupkan jiwa dan medan penyatuan ummah dan pentadbiran selain tempat ibadah

• Mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar

• Membuat perjanjian dengan penduduk Madinah

Penyatuan hati Muhajirin dan Ansar antaranya bagi meringankan bebanan ekonomi dan sosial yang dihadapi Muhajirin yang terpaksa meninggalkan harta dan tanah air demi bersama Rasulullah SAW. Persaudaraan ini menjadi teladan kepada kita bahawa ikatan keimanan, akidah dan keikhlasan menjadi tunjang kepada pembinaan negara Islam.

Tanpa meremehkan atau meminggirkan kepelbagaian budaya, fahaman, kaum dan agama, Rasulullah SAW melakukan perjanjian dan persefahaman dengan pelbagai lapisan masyarakat yang tinggal di Kota Madinah. Perjanjian itu menunjukkan jiwa besar Rasulullah SAW membina penyatuan masyarakat, mencintai kehidupan aman damai dan selamat, tidak berperang sesama sendiri. Semua perkara penting dipertimbangkan sebelum membuat perjanjian dengan penduduk Madinah sama ada Muslim atau bukan Muslim.

Setelah itu, kedudukan politik Madinah diperkuat melalui persefahaman semua pemimpin kaum dengan perjanjian Piagam Madinah (Sahifat al-Madinah) sebagai panduan bagi pembinaan negara dan umat yang bermaruah melalui kematangan politik, sepertimana sabdanya yang bermaksud:

“Aku diperintahkan untuk berhijrah ke sebuah kota yang akan mengalahkan kota-kota lain. Kota itu disebut Yathrib. Itulah Madinah. Kota itulah yang akan membersihkan manusia (daripada segala keburukan dan kemusyrikan) sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran besi,”
Riwayat Bukhari.

Penduduk Arab di Madinah tidak sehebat Quraisy Mekah yang memiliki kekayaan, menguasai perdagangan serta mempunyai struktur politik tersusun. Muhammad Ahsan dalam tulisannya ‘Globalization and The Underdeveloped Muslim World: A Case Study of Pakistan’ dalam bab ‘Islam Encountering Globalization’, (Ed. Ali Mohammad) menyatakan antara tindakan awal Rasulullah SAW di Madinah adalah mengadakan bancian yang merangkumi guna tenaga kerja, penguasaan ilmu pengetahuan, tahap literasi, ekonomi, keperluan dan pegangan agama. Ini menjadi asas kepada pembinaan negara Madinah yang bermaruah.

Saya tertarik dengan ucapan Syeikh Abdullah bin Bayyah, tokoh Maal Hijrah 1441 Hijrah“…menyedari realiti hari ini, yang menuntut kefahaman dan pelaksanaan yang baharu, negara kami Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah melancarkan Deklarasi Marrakesh bagi menonjolkan kembali nilai-nilai Islam yang menyokong prinsip hidup kebersamaan dengan penganut agama lain, deklarasi ini diilhamkan daripada semangat Piagam Madinah”. Saya berpandangan inilah bentuk penghijrahan yang dilakukan oleh UAE bagi mengharmoniskan kehidupan rakyatnya. Usaha yang sama sedang dilakukan oleh UMNO dan PAS melalui Piagam Muafakat Nasional.

Menjadi tanda tanya dalam konteks Malaysia, setelah rakyat melakukan penghijrahan menukar kerajaan, apakah hasil yang diperolehi dan keberuntungan rakyat dari penghijrahan tersebut. Apakah nasib mereka terbela atau taraf kehidupan mereka lebih baik? Bagaimana dengan tahap sosioekonomi, kebajikan, pendidikan, keamanan, keharmonian antara kaum bertambah baik ataupun sebaliknya. Rakyat perlukan solusi yang terbaik kepada permasalahan mereka, bukan hanya retorika politik samata-mata.

Bagi menyahut titah Yang di-Pertuan Agong bahawa “Penghijrahan negara ke tahap yang lebih tinggi akan boleh dicapai melalui pembentukan semangat toleransi dan kerjasama rakyat berbilang kaum yang menjadi asas kukuh kepada perpaduan negara”.

UMNO komited berpegang kepada prinsip Perlembagaan serta menekankan toleransi, kesederhanaan, sifat kemanusiaan dan timbang rasa sehingga memberi kesan positif terhadap keamanan dan pembangunan negara.

Mengambil keberkatan bulan Muharam sebagai bulan hijrah, UMNO dan PAS akan menjadikan Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) yang akan diadakan seminggu dari sekarang sebagai asas toleransi dan perpaduan antara kaum. Himpunan ini terbuka kepada seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik. Kita menolak budaya extremisme dan perkauman yang akan menjejaskan keharmonian masyarakat. Himpunan ini akan menjadi titik penghijrahan terbesar dan bermakna kepada seluruh rakyat bagi membina Malaysia bermaruah.

AHMAD ZAHID HAMIDI
#demiummah
#akhiratdidepan

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.