#HPU914: Wakil Kerajaan Akan Dijemput Dengar Sendiri Taa’wun UMNO-PAS, Jangan Salah Tafsir – Annuar

POKOK SENA, 5 Sept – Semua wakil parti-parti politik di dalam kerajaan akan dijemput untuk menghadiri Majlis Tandatangan Piagam Taa’wun antara UMNO dan PAS 14 September ini dalam usaha memberikan kefahaman yang sebenar terhadap perkara berkenaan.

Perkara itu menurut Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa ianya telah mendapat persetujuan PAS memandangkan usaha berkenaan sering disalah tafsir serta difitnah dengan macam-macam.

“Patutnya pusing-pusing cerita ini kerjanya pembangkang tetapi hari ini terbalik. Pembangkang cakap benda yang betul tetapi kerajaan pula cakap benda yang kelentong. Serupa juga dengan Taa’wun.

“Mereka beranggapan Taa’wun ini… UMNO dan PAS bergabung untuk cetuskan permusuhan dan ini juga fitnah besar. Jadi sebagai menyahut seruan kerajaan nak buktikan kami tidak cetuskan permusuhan, saya dengan urus setia dengan persetujuan PAS telah bersetuju untuk menjemput semua wakil politik termasuk Lim Guan Eng,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Terdahulu sebelum itu beliau menyampaikan ceramah sempena Himpunan Penyatuan Ummah peringkat negeri Kedah yang di adakan di Padang Kompleks  Islam Darul Ulum, Pokok Sena.

Tambah Annuar Musa lagi, surat jemputan tersebut akan ditandatangani Isnin ini.

“Isnin ini saya akan tandatangan surat… saya jemput semua parti-parti termasuk parti-parti dalam kerajaan untuk datang dan saya akan berikan kerusi yang paling empuk dan tempat yang paling elok sekali dan kita akan berikan layanan paling baik sekali.

“Kita jemput mereka datang untuk menyaksikan Ta’awun UMNO PAS ini supaya mereka mendengar sendiri ucapan-ucapan dan biar mereka baca sendiri piagam yang akan kita umumkan,” ujarnya.

Beliau seterusnya memberikan jaminan bahawa kerjasama  ini adalah satu usaha untuk mengukuhkan penyatuan dan perpaduan dikalangan orang Islam dahulu tetapi mesej dan matlamat akhirnya adalah untuk menyatupadukan semua tanpa memencilkan atau meminggirkan sesiapa pun.

Dan ini tambahnya akan ditulis secara hitam putih bahawa Taa’wun ini adalah untuk rakyat secara keseluruhannya.

“Keduanya kena ingat UMNO dan PAS ini adalah parti yang ada saham besar dalam perlembagaan. Apa yang ditulis dalam Perlembagaan, UMNO dan PAS ada saham  dan tidak mungkin kita bekerjasama untuk membuat  benda yang bercanggah dengan apa yang ada di dalam Perlembagaan dan Perlembagaan kita sepertimana kita tahu memberikan perlindungan yang cukup ketat bagi orang Islam dan bukan Islam,” ujarnya. – UMNO Online

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.