Himpunan Penyatuan Ummah Di Kedah Meriah, Kerjasama UMNO-PAS Penuh Keakraban

POKOK SENA, 5 Sept – Menjelang Himpunan Penyatuan Ummah minggu depan yang akan menyaksikan tandatangan piagam antara UMNO dan PAS, himpunan penyatuan ummah peringkat negeri Kedah berlangsung dalam suasana muhibbah dan penuh keakraban.

Duduk sepentas pada ceramah berkenaan Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa serta barisan kepimpinan negeri Kedah kedua-dua parti berkenaan.

Ceramah berkenaan yang berlangsung di Padang Kompleks Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena penuh dengan masyarakat setempat termasuk pendokong dan penyokong kedua-dua parti tersebut.

Cukup menarik dan cukup membanggakan apabila masing-masing yang hadir duduk bersila di padang terbabit untuk mendengar dengan lebih dekat apa yang diungkapkan oleh pucuk pimpinan UMNO dan PAS mengenai penyatuan ummah yang sedang hangat diperkatakan seluruh negara hari ini.

Sebagai tanda kerjasama peringkat negeri, barisan kepimpinan kedua-dua parti melepaskan belon ke udara sebagai simbolik kerjasama tersebut yang akan terus diperkukuhkan.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam ucapannya berkata sekiranya Barisan Nasional (BN) masih terus memegang kuasa rakyat tidak akan nampak tindak-tanduk serta ‘kehebatan’ sebenar pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang hari ini telah membentuk kerajaan.

Beliau mengambil contoh seperti isu Lynas yang sebelum ini sering dibangkitkan, penguatkuasaan kamera AES yang sebelum ini turut menjadi kecaman, isu kenaikan harga minyak Petrol serta pelbagai perkara lain akhirnya setelah PH menjadi kerajaan fakta sebenar mula timbul.

“Bila kita renung balik dan kenang balik… kalau tidak kalah kita tidak tahu kita ingat mereka hebat atas pentas komen… komplen dan bagi formula macam-macam… bagi jalan penyelesaian ekonomi yang macam-macam.

“Mai hari ini merundum habis… Bursa saham kita turun lebih dariapda 300 mata… daripada 1,890 mata hari ini dah turun sehingga 1,590 mata. Ringgit kita turun ukuran dengan Dolar Amerika, RM4.28 manakala dengan Baht Thailand pun kalah kita. Pelabur pun lari dan hutang negara makin meningkat. Kalau kata BN tidak kalah hari tu kita tidak tahu menteri-menteri PH ini macam-macam,” katanya.

Katanya lagi sekarang ini masyarakat di luar sana sering bertanyakan bilakah akan diadakan pilihan raya.

“Kalau tidak kalah kita tidak tahu pun kamera AES rupa-rupanya menepati maqasid syariah… itu yang ditambah lagi dan macam-macam,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.