Himpunan Meterai Piagam PAS, UMNO Detik Bersejarah

KANGAR 5 Sept. – Himpunan memeterai Piagam Muafakat Nasional antara Pas dan UMNO pada 14 September depan bakal mencatatkan sejarah baharu dalam arena politik negara, apabila bersatunya dua parti terbesar orang Melayu Islam yang sekian lama bertelagah.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, selepas puluhan tahun bergaduh selain pertembungan politik yang cukup lama akhirnya penyatuan ummah ini menjadi kenyataan.

Beliau juga percaya, puluhan ribu penyokong kedua-dua parti itu akan menyertai himpunan tersebut.

“Tinjauan di beberapa negeri sebelum ini menyaksikan rakyat begitu mengimpikan penyatuan antara dua parti ini. Saya gembira dengan perkembangan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dijangka lebih 10,000 orang ahli dan penyokong UMNO dan Pas akan menghadiri Himpunan Penyatuan Ummah bersempena majlis menandatangani Piagam Muafakat Nasional pada 13 dan 14 September depan.

Program itu bakal menyaksikan kedua-dua parti akan menandatangani piagam kerjasama oleh kedua-dua Presiden.

Ia sekali gus bakal mengukuhkan blok pembangkang dengan hasrat menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam.

Dalam pada itu, Hashim menegaskan, Pas dan UMNO tidak gentar dengan pihak-pihak yang cuba untuk mengagalkan kerjasama tersebut.

“Memang akan ada yang tidak suka apabila Islam ditegakkan dan mereka akan menentang secara habis-habisan. Apa yang paling penting orang Islam sudah mula sedar mengenai penyatuan sesama Islam ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit