Jaga, Siram, Baja Pokok Ta’awun… “Berpegang Teguh Pada Tali Allah”

KERDAU, 4 Sept – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyeru pendukung agenda penyatuan ummah supaya menjaga pokok ta’awun dengan sebaik-baiknya.

Katanya, jka dibajai dan disiram dengan sebaik-baiknya, ianya pasti mampu membuahkan hasil yang cukup baik.

“Tolong jaga pokok ta’awaun ini dengan baik. Peliharalah pokok-pokok ta’awaun ini dengan baik, jagalah, bajailah dan siramilah dengan air yang baik.

“Jangan matikan pokok ta’awun yang sedang kita tanam ini dan insya-Allah saya yakin dan jika ini yang dapat kita lakukan pada PRU (Pilihan Raya Umum) bakal mendatang….

“Insya-Allah jika ta’awaun yang akan kita meterai ini kita dapat pertahankan dengan baik sehingga sampai PRU15, PAS dan UMNO akan kembali bertapak di Putrajaya dan meneruskan kepimpinan,” ujarnya.

Jamil Khir berkata demikian dalam ceramah penyatuan ummah peringkat negeri Pahang di Dewan Seri Ketumbit di sini, malam tadi.

Selain Jamil Khir, turut memberikan ceramah ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabbar.

Hadir sama, bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed, Ahli Parlimen Lipis yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Mohamad, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor dan barisan kepimpinan PAS Pahang.

Pada 14 September nanti, akan tercatat satu sejarah politik baharu tanah air apabila UMNO dan PAS akan menandatangani piagam kerjasama antara kedua-dua parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Justeru itu jelas Jamil Khir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah lagi, sifat keterbukaan dan pemaaf adalah resepi kejayaan umat Islam.

“Maka, dengan sifat keterbukaan dan sikap pemaaf di antara satu sama lain kita bina kekuatan ‘berpegang teguhlah pada tali Allah, dan janganlah kamu bertelagah”.

“Insya-Allah Islam akan terus berkibar dan berkembang dan Islam diperkasakan dalam negara kita pada hari ini,” katanya.

Jamil Khir turut berkata penyatuan ummah kini amat digeruni oleh pihak-pihak yang menolak agenda perpaduan.

“Pakatan Harapan (PH) sedang gerun melihat himpunan ta’awun.

“Kerjasama ini untuk kita menghimpunkan kekuatan apatah lagi saat hendak menuju 14 haribulan ini merupakan satu tarikh dan tempoh yang memberikan kegerunan kepada mereka,” tegasnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit