Tohmahan Usaha Penyatuan Ummah Adalah Mereka Yang Takut Bayang-Bayang – Tajudin

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Mereka yang melemparkan pelbagai tohmahan serta dakwaan tidak berasas berhubung Himpunan Penyatuan Ummah termasuklah yang akan diadakan di Pasir Salak esok adalah mereka yang takut dengan bayang-bayang.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman berkata tuduhan dan pelbagai dakwaan berkenaan harus diketepikan kerana matlamat apa yang diusahakan itu adalah kesatuan umat seluruhnya yang akan memberi manfaat secara menyeluruh.

“Tohmahan-tohmahan yang mengatakan bahawa ini adalah perhimpunan rasis, perkauman dan sebagainya lagi tidak betul. Apa yang perkaumannya dengan perhimpunan seperti ini.

“Perhimpunan ini semata-mata untuk menyatupadukan orang Melayu Islam dan itu yang dituntut oleh Allah SWT supaya umat Islam bersatu padu. Kita melaksanakannya berpandukan kepada tuntutan Allah SWT. Apakah kita mengikuti apa yang dituntut oleh Allah dan ajaran Islam itu boleh dianggap sebagai rasis,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Besok akan berlangsung Himpunan Melayu Bangkit Penyatuan Ummah 2.0 di Dataran Dewan Besar Pekan Rabu, Sungai Manik kawasan Parlimen Pasir Salak yang bakal menghimpunkan 50,000 orang dengan dukungan penuh dari UMNO dan PAS.

Pada 13 dan 14 September ini pula, Himpunan Penyatuan Ummah dan majlis tandatangan piagam kerjasama UMNO dan PAS akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena majlis tandatangan piagam kerjasama kedua-dua parti berkenaan.

Penyatuan Ummah sepertimana yang ditekankan oleh pucuk pimpinan parti bukanlah meminggirkan mana-mana pihak lain sebaliknya bakal memberi kebaikan dan manfaat yang penuh bermakna kepada seluruh rakyat di negara ini.

Tajuddin seterusnya mengingatkan agar tohmahan-tohmahan yang dilontarkan diketepikan sebaliknya terus sama-sama berusaha memastikan kejayaan penyatuan ummah.

“Jadi mereka rasa bimbang serta takut dan untuk menggagalkan kesatuan ini dengan membuat pelbagai tuduhan… kita jangan ambil peduli dengan tuduhan seperti itu dan tuduhan daripada musuh-musuh yang tidak mahu melihat kejayaan dalam soal ini,” ujarnya lagi.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit