Pentingnya Himpunan Ummah… Laungan Bangsa, Harapan Dan Masa Hadapan
SERAMAI 50,000 orang dijangka membanjiri Dataran Dewan Besar Pekan Rabu, Sungai Manik kawasan Parlimen Pasir Salak Jumaat ini untuk menyertai Himpunan Melayu Bangkit Penyatuan Ummah 2.0 yang mendapat dukungan kuat daripada UMNO dan PAS.
Sebelum ini, ibarat satu perkara yang mustahil untuk dua parti Islam dan Melayu terbesar UMNO dan PAS ini untuk bekerjasama kerana semua sedia maklum PAS telah menjadi seteru kepada UMNO sejak sekian lama.
Namun, rantaian isu yang menggugat hak Islam dan Melayu khususnya pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah membuka mata dan hati kedua-dua kepimpinan dan penyokong parti itu. Ini termasuk mereka yang non partisan dan dalam kalangan anak-anak muda.
Beberapa siri kerjasama dilihat dalam pilihan raya kecil (PRK) dengan gerak kerja lancar membabitkan jentera UMNO-PAS sehingga berjaya memenangi PRK di Cameron Highland, Semenyih dan Rantau. Ini membuktikan bahawa penyatuan ummah ini dapat menyatukan orang Islam dan Melayu serta memberi pulangan berganda dengan sokongan dari semua.
Penyatuan ummah ini dianggap begitu penting kerana apabila Barisan Nasional (BN) hilang kuasa pentadbiran dan setelah lebih setahun Pakatan Harapan (PH) memerintah, isu-isu perkauman dan sentimen-sentimen yang mengguris hati orang-orang Melayu semakin menjadi-jadi.
Kata-kata daripada Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran, mengatakan orang Melayu sebagai pendatang sangat tidak boleh diterima. Mana mungkin seorang pemimpin kerajaan bersifat rasis? Hal ini antara faktor pentingnya penyatuan ummah bagi memastikan hak kita sebagai bumiputera terpelihara.
PH dilihat gagal mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat. Masakan tidak pelbagai isu seperti penghinaan pada Islam, pada junjungan Nabi Muhammad SAW dan terbaharu berkenaan dengan penghinaan pada bendera negara serta angkatan tentera yang sebelum ini jarang kita dengari tetapi sekarang seperti virus yang tersebar dalam kalangan masyarakat.
PH juga gagal menjaga maruah orang Melayu dan Islam sehingga ada yang merasakan seperti dianaktirikan di tanah air sendiri. Perkara ini sangat kritikal jika tidak dibendung segera kerana Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa dan agama yang majoritinya Melayu dan beragama Islam.
Apatah lagi Islam telah termaktub dalam Perlembagaan sebagai agama bagi Persekutuan, dan agama-agama lain bebas untuk diamalkan. Malah sepanjang pentadbiran BN 60 tahun, hal tersebut menjadi keutamaan dan sentiasa dititikberatkan namun malangnya baru setahun lebih PH menjadi teraju kerajaan banyak hal-hal dalam Perlembagaan dipertikai khususnya yang berkait dengan Melayu dan Islam.
Sesungguhnya, himpunan untuk penyatuan ummah ini bukanlah bersifat ekstrem kerana telah terbukti selama 61 tahun UMNO BN mentadbir negara dengan begitu baik dan begitu juga PAS yang dilihat sebagai ‘totok’ Islam berjaya mentadbir negeri Kelantan tanpa ada halangan untuk mengamalkan agama masing-masing.
Lebih dari itu, Himpunan Melayu Bangkit yang telah dilakukan pada 1 September dan Himpunan Perpaduan Ummah (17 November) tahun lalu menjadi bukti bahawa kesatuan erat bangsa Melayu ini telah berlangsung dengan aman, lancar dan tanpa ada apa-apa insiden buruk berlaku.
Kerjasama UMNO-PAS ini tidaklah laungan kosong semata-mata tetapi penuh dengan harapan dan semangat baharu. Ikatan persefahaman ini mendapat dukungan kuat dari banga Melayu dan Bumiputera di segenap tanah air kerana ia adalah cerminan masa hadapan negara untuk generasi akan datang.
Ayuhlah semua, teruskanlah sokongan terhadap Himpunan Ummah kerana ia bukan saja akan memberi impak dan dimensi baharu kepada pergerakan politik negara tetapi yang utama adalah demi Islam, bangsa Melayu dan tanah air tercinta.
Ikhlas
Aiman Ja’apar, Subang