IGP Salahkan Pembangkang? PH ‘In Denial’… Bila Tak Pandai Menari, Usah Tuduh Tanah Tinggi Rendah
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Terlalu banyak peristiwa yang berlaku di negara ini menimbulkan kegelisahan majoriti rakyat dan mengganggu-gugat keharmonian serta perpaduan negara yang bukan berpunca daripada parti pembangkang, tegas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.
Bidasnya dalam satu hantaran di Facebook, hakikatnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) sendiri yang bertindak menyinggung perasaan rakyat tetapi mengapa pula pembangkang khususnya UMNO dan PAS hendak dipersalahkan.
“Adalah sesuatu yang sangat mendukacitakan bila pasukan keselamatan yang sepatutnya ‘apolitical’ sudah tidak teragak-agak bersifat ‘politically biased’ dalam kenyataan mereka.
“Ini akan menimbulkan krisis keyakinan serta wujud rasa tidak selamat di pihak yang dilihat serong oleh agensi berkenaan.
“Adalah tidak bijak bila membuat tuduhan melalui media tanpa secara adil melihat kepada punca sebenar sesuatu itu berlaku… misalnya, pihak berkuasa terlibat membela Chin Peng sebagai pejuang, menteri menuduh Melayu pendatang, pemimpin parti kerajaan membuat ucapan menyinggung Islam kononnya Taliban di Malaysia, Nabi dihina, orang Melayu dimaki, perkara bercanggah dengan agama dibiarkan, pendakwah difitnah dan terlalu banyak peristiwa untuk disenaraikan… rakyat lebih tahu,” jelasnya.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh memberi reaksi demikian berhubung satu laporan media mengenai kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang menuduh pembangkang terutama UMNO dan PAS menjadi penyebab ketegangan kaum dan agama di negara ini.
Mengulas lanjut, Annuar menimbulkan persoalan buat Abdul Hamid.
“UMNO dan PAS sudah wujud 60-70 tahun. Dasar dan pendekatan UMNO dan PAS tetap sama sejak dulu… kenapa baru sekarang mahu meletakkan salah pada pembangkang?
“Kononnya pembangkang nak menutup salahnya pada masa lalu… apa yang UMNO/PAS nak tutup?
“Tidakkah sekarang segala kuasa ada pada kerajaan? Segala pendedahan dan tuduhan dibuat. Proses mahkamah sedang berjalan? Apa yang UMNO dan PAS boleh tutup?” soalnya lagi.
Seterusnya, Annuar menyeru Abdul Hamid berfikir serta menjawab secara jujur berhubung keresahan rakyat sekarang ini.
“Cuba berfikir secara jujur. Apakah keresahan rakyat sekarang kerana 1MDB? … atau isu 1MDB semakin tawar apabila rakyat mula mendapat maklumat sebenar yang lebih banyak.
“Apakah keresahan rakyat adalah kerana keburukan kerajaan terdahulu atau kekecewaan rakyat atas kegagalan kerajaan sekarang? Tolong jawab secara jujur.
“Dan adakah bila kepincangan kerajaan berlaku depan mata, kezaliman dan penindasan berleluasa, kelemahan kerajaan begitu ketara maka pembangkang harus diam dan hanya melihat saja?” bidasnya lagi.
Oleh kerana itulah tambahnya lagi, kerajaan PH kini berada dalam sindrom penafian atas kegagalan sendiri.
“Kerajaan nampaknya semakin ‘in denial’… parah kalau begini berterusan. Kerajaan masih dalam ‘mode’ semua salah orang… bukan salah sendiri!
“Apakah pembangkang yang nak tutup kelemahan masa lalu atau kerajaan yang gagal berprestasi masa sekarang?” tanyanya lagi.
Tambah Annuar, rakyat Malaysia memang terkenal dengan sifat sabar terutama orang Melayu dan Islam.
“Kalau di negara lain sudah lama rakyat bangkit menggulingkan kerajaan, tapi di Malaysia pembangkang sendiri turut menyokong kerajaan.
“Wakil rakyat pembangkang menyeberang menyokong kerajaan. Pemimpin kerajaan mahu Perdana Menteri (PM) diberhentikan tapi pembangkang mempertahankan PM kerajaan!
“Apa lagi Kerajaan mahu? Malah pembangkang membiar proses undang-undang berjalan walaupun ketara ‘Rule of Law’ berganti dengan ‘Law Of The Jungle’… ‘survival of the fittest not protecting the weakest’,” tegasnya.
Justeru itu Annuar mengingatkan kerajaan PH agar jangan berterusan hidup dalam penafian dan mengabaikan kepentingan rakyat.
“Jangan berterusan ‘take the rakyat for granted’. Kesabaran rakyat ada batasnya. Jangan menghina kepintaran rakyat ‘insulting their intelligence’.
“Jika anggota polis tak berpuas hati, tentera tersinggung, pegawai tidak dipercayai, petani kecewa, pemandu teksi marah, anak muda putus harapan, penoreh getah, pesawah, nelayan rasa dipinggirkan serta pendakwah, kadi, mufti dan ilmuan melahirkan keresahan adakah PAS dan UMNO yang nak disalahkan?
“’Please wake up’… Malam bakal menemui siang! Fajar tetap menyingsing dan matahari tetap bercahaya terang. Bila tak pandai menari, usah menuduh tanah tinggi rendah,” katanya lagi. – UMNO ONLINE