Skuad SABIL: Platform Canai Nilai Sukarelawan Dan Semangat Perjuangan
BENTONG, 26 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggagaskan Skuad SABIL sebagai suatu platform untuk mencanai nilai kesukarelawanan dan semangat perjuangan, ujar Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Ini kerana katanya supaya setiap anak muda yang menyertai Skuad SABIL mempunyai idealisme, roh, akal dan jiwa UMNO yang setia serta berkhidmat untuk membela Islam, mempertahankan maruah bangsa dan memperkasa negara berasaskan Perlembagaan Negara.
“InsyaAllah SKUAD SABIL akan berperanan menganjurkan program-program amal kebajikan untuk rakyat di samping membantu menjaga keselamatan program-program yang melibatkan parti,” tambahnya.
Petang semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan penutup Kursus Siri Pertama SKUAD SABIL di Janda Baik.
Ini merupakan kumpulan pertama dan perintis seramai 300 anggota di kalangan Pemuda UMNO Malaysia yang dilatih untuk menjadi anggota SKUAD SABIL.
Dr Asyaf turut menjelaskan signifikan skuad tersebut yang dinamakan SABIL.
“Kalau mengikut istilah fekah, dari segi bahasa SABIL membawa makna:
كلُّ ما أَمر الله به من الخير، واستعماله في الجهاد أَكثر.
“Setiap perkara yg diperintahkan Allah daripada kebaikan, kebiasaan penggunaannya pada jihad di jalan Allah”.
“Justeru SABIL membawa maksud apa sahaja kerja amal kebajikan dan kebaikan yang memberi manfaat kepada ummah dan mendapat keredhaan Allah,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Asyraf berkata Presiden meminta agar lebih ramai lagi sukarelawan itu dibentuk.
“InsyaAllah Presiden telah mengarahkan untuk tahun ini sahaja sekurang-kurangnya enam ke tujuh siri latihan akan diadakan yang melibatkan lebih kurang 2,100 anggota untuk dilatih sebagai Skuad SABIL.
“Bagi yang berminat, tunggu pemberitahuan dan makluman dalam masa terdekat,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE