Veteran UMNO Yakin Mampu Terus Beri Sumbangan Untuk Perkukuh Parti – Abdul Malik
KUANTAN 22 Ogos – Pengerusi Perhubungan Veteran UMNO Negeri Pahang, Datuk Abdul Malik Ismail melahirkan keyakinan bahawa Veteran UMNO mampu terus memberikan sumbangan kepada parti dalam usaha untuk memperkukuh dan memperkuatkan UMNO lantas kembali memenangi kerusi-kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, ahli veteran UMNO berjumlah lebih 600 ribu orang iaitu 20 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli parti, maka tentunya jumlah tersebut memainkan peranan untuk memenangi PRU mahupun Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan.
“Semasa PRU lepas dikawasan Melayu antaranya saluran satu dan dua semuanya kita menang, ini bermakna orang-orang veteran banyak membantu kejayaan UMNO kerana tiap-tiap bahagian mahupun negeri sekurang-kurangnya 20 peratus dari pengundi terdiri dari warga veteran,” katanya bercakap kepada UMNO-Online semasa Perhimpunan Veteren UMNO di Kuantan, semalam.
Jelasnya lagi UMNO hari ini berdepan pelbagai cabaran dan bagi negeri yang menang seperti Pahang tapi cabarannya tetap ada dalam usaha untuk mengekalkan kemenangan dengan strategi-strategi yang dilakukan.
“Syabas kepada UMNO Pahang walaupun banyak negeri yang kalah dapa PRU lalu namun Pahang mampu bertahan dan hari ini, tekanan serta cabaran yang dilalui berbeza namun kita perlu terus yakin bahawa UMNO akan mampu mengekalkan kemenangan ini,” katanya lagi.
Dalam perkembangan yang sama, Naib Pengerusi Satu Veteran UMNO, Datuk Mohd Rozali Ischak turut percaya bahawa UMNO hari ini akan kembali memenangi kawasan-kawasan yang tewas sebagaiman Barisan Nasional (BN) mencita kemenangan dalam beberapa PRK lalu.
“Dengan penyatuan ummah, kita sudah membuktikan dengan tiga PRK menang dan di negeri Pahang, insya-Allah dengan adanya perpaduan ummah maka kita akan tawan semua semula … insya-Allah.”
“Istimewanya orang-orang veteran walaupun usia semakin bertambah tetapi semangat masih kuat seperti muda-muda dulunya. Saya harap veteran UMNO Malaysia akan belajar dengan veteran UMNO Pahang yang mampu membantu mengekalkan negeri,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE