Mohamad Digesa Jangan Jadi Cybertrooper

KANGAR 18 Ogos – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu digesa bertegas dalam mengambil tindakan terhadap ahli perniagaan, Koon Yew Yin yang telah menghina anggota tentera, baru-baru ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, tindakan Mohamad yang menyifatkan sesiapa sahaja yang menghina tentera sebagai jijik dan tidak boleh diterima, dilihat tidak cukup dengan apa yang telah dilakukan oleh ahli perniagaan berkenaan.

“Jadi apa tindakan abang Mat (Mohamad). Sekadar kata ‘jijik, tidak boleh diterima’ itu sudah disebut oleh netizen. Mohon Abang Mat bertindak sebagai Menteri Pertahanan, bukan cybertrooper,” katanya dalam ciapan Twitter beliau di sini.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat tidak gemar dengan tindakan Mohamad yang dianggapnya cuba membangkitkan soal perkauman ekoran kecaman terhadap individu yang memperlekehkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ia susulan tindakan warga maya yang mengecam Yew Yin apabila dilaporkan berkata anggota tentera tidak berbuat apa-apa sebaliknya hanya makan dan tidur.

Kata Najib, secara am beliau bersetuju dengan kenyataan Mohamad bahawa penghinaan terhadap angkatan tentera tidak patut dijadikan isu perkauman.

“Tetapi saya tidak setuju dengan cubaan Mat Sabu untuk menjadikan ini sebagai isu perkauman dengan menyoal kenapa netizen (warga maya) hanya melenting dengan kenyataan Yew Yin dan kononnya membisu dengan kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah, Harris Salleh,” kata Najib.

Sebelum itu, Mohamad melihat tindakan warga maya yang lebih mengecam Yew Yin berbanding kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah seolah-olah sikap perkauman.

Yew Yin bagaimanapun ketika dihubungi Utusan Online baru-baru ini telah memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan tersebut dan meminta maaf terutama kepada anggota tentera yang tersinggung dengan kenyataannya itu.- UTUSAN ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit