Ta’awun Siyasi Satu Bentuk Pengorbanan, Gembleng Tenaga Pastikan Kesucian Islam Terus Terpelihara – Ust Idris

BALING, 17 Ogos – Merealisasikan agenda perpaduan ummah merupakan satu bentuk pengorbanan yang tinggi yang dilakukan oleh pendukung UMNO dan PAS, ujar Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, ta’awun siyasi antara UMNO dan PAS mampu menggembleng tenaga bagi memastikan kesucian agama Islam terus terpelihara di negara ini.

“Alhamdulillah, ini semuanya hasil dari pengorbanan. Kita terpaksa korban perasaan kita, korbankan ego, segala apa yang ada selama ini kepada perjuangan untuk memastikan kerjasama (ta’awun).

“Dan juga mungkin selepas ini tahaluf pula akan berlaku, ialah tidak lain dan tidak bukan mesti bertitik tolak dari pengorbanan,” ujarnya lagi.

Ustaz Idris berkata demikian dalam ceramah perpaduan ummah di Simpang Tiga Kampung Jerai di sini, malam tadi.

Turut sama Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim yang juga Ketua UMNO Bahagian Baling dan Ahli Parlimen Baling, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Brig. Jen. (B) Datuk Najmi Ahmad dan Yang Dipertua PAS Baling, Ustaz Hassan Saad serta barisan kepimpinan setempat kedua-dua parti.

Ustaz Idris juga menegaskan bahawa kerjasama UMNO dan PAS adalah jelas, iaitu memastikan Islam didaulatkan di atas muka bumi ini kerana terbukti Islam mampu memberikan keadilan kepada semua kaum.

“Sebagaimana yang kita maklum, kita berada di sini setelah Allah SWT uji umat Islam di negara ini dengan keputusan pilihan raya umum 9 Mei 2018 lalu. Apabila Allah SWT memberikan satu isyarat yang jelas dalam Al-Quran ‘jangan bertelingkah, jangan berpecah, jangan bertelagah, maka kehebatan kamu akan hilang’.

“Allah menyebut 1,400 tahun yang lalu, sudah memberi jawapan pada 9 Mei setahun yang lalu. Bagaimana yang menguasai Putrajaya hari ini mereka yang hanya 35 peratus penduduknya menguasai negara melakar masa depan…

“Kedua-dua pimpinan parti sedar ketika umat Islam ada 65 peratus. Bayangkan jika umat Islam sedar pada ketika bilangan umat Islam 45 peratus atau 49 peratus, keluar air mata darah pun sudah tidak berguna, Malaysia akan jadi Sepanyol yang kedua. Ini semua ada hikmah yang tersirat dan tersurat,” katanya lagi.

Dalam ucapannya, Ustaz Idris juga berkata Islam tidak akan sampai ke negara ini tanpa pengorbanan pendakwah-pendakwah terdahulu yang datang daripada Parsi, Gujerat India untuk menyampaikan risalah Islam.

“Kemudian ia diteruskan oleh ulama’, tuan guru, ustaz yang menyampaikan Islam kepada kita sehingga kita mendapat nikmat Islam yang cukup berharga. Inilah nikmat yang paling agung. Nikmat harta, pangkat tidak bermakna tanpa nikmat Islam.

“Menjadi tugas kepada kita pula yang berada di akhir zaman pada hari ini, menjadi penyambung risalah yang terdahulu daripada kita bermula daripada Rasul, Nabi yang telah melaksanakan kerja mereka, supaya iman dan Islam dapat diwarisi anak cucu akan datang.

“Tetapi yang menjadi masalah kita hendak korbankan perasaan kita, masa kita, tenaga kita untuk memastikan supaya Islam ini terpelihara di atas muka bumi Allah SWT, khususnya di bumi Malaysia pada hari ini,” tambahnya lagi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.