Piagam UMNO-PAS Kelangsungan Perpaduan, Mimpi Ngeri Buat PH – Armand

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT), Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata Piagam UMNO-PAS yang diaspirasikan melalui gelombang perpaduan ummah diterima baik disemua peringkat baik dalam bandar mahupun di luar bandar.

Katanya, kerjasama dua parti Melayu Islam terbesar ini boleh dikatakan salah satu yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia bukan hanya bagi Melayu Islam malah kaum-kaum lain juga.

“Gabungan UMNO dan PAS dalam piagam kerjasama ini memang dinanti-nantikan rakyat Malaysia demi kelangsungan penyatuan ummah apatah lagi dalam realiti politik semasa.

“Tentunya piagam ini akan menjadi mimpi ngeri buat Pakatan Harapan (PH) apabila gabungan ini termeterai maka kerana itu pelbagai cerita buruk tersebar. Piagam ini cukup menakutkan mereka yang mempunyai berbagai masalah dalaman… PH hari ini sangat teruk dan kritikal ‘ibarat retak menanti belah sedangkan kita membina perpaduan yang semakin mengukuh,” katanya kepada UMNO Online, di sini pada hari ini.

Armand yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang menjelaskan, pengalaman UMNO mentadbir lebih 60 tahun dan suntikan pengalaman PAS akan dijadikan salah satu ramuan utama dalam kerjasama Piagam parti tersebut.

“UMNO harus belajar ketahanan daya yang luar biasa dan kualiti pemimpin PAS yang berintegriti… mampu bertahan lebih enam dekad berperanan sebagai pembangkang, kelebihan itu harus dipelajari,” katanya.

Justeru, dengan komitmen dan iltizam yang tinggi antara kedua-dua parti Melayu Islam, beliau yakin sebuah kerajaan yang lebih baik akan dapat dibentuk bagi menentang PH menjelang Pilihan Raya Umum(PRU) ke 15 nanti. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit