Pengorbanan Dihargai Bukan Diperlekeh

PERKATAAN ‘berkorban’ atau ‘pengorbanan’ amat mudah untuk dituturkan, namun adakah terlalu mudah untuk kita lakukan? Aidil Adha mengajar kita erti pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s.

Di sebalik kita menghayati kisah pengorbanan mereka berdua, insan ketiga Saidatina Hajar isteri kepada Nabi Ibrahim a.s turut berkorban melaksanakan peranan sebagai isteri dan ibu kepada Nabi Ismail a.s. Mereka ditinggalkan di padang pasir, tiada sumber air atau makanan, yang ada hanyalah tanah tandus.

Setelah kehabisan bekalan air, dek rasa kasih seorang ibu, Saidatina Hajar berlari-lari dari bukit Safa ke Marwah sebanyak tujuh kali pusingan yang jaraknya sekitar 450 meter untuk mencari air dan meminta bantuan. Syeikh Sya’rawi di dalam tafsirnya menyebut: dua bukit Safa mengingatkan nostalgia bagaimana Saidatina Hajar iaitu ibu Ismail a.s berulang alik antara kedua-duanya mencari air untuk anaknya selepas ditinggalkan Nabi Ibrahim a.s di sisi Baitullah al-Haram.

Inilah hikmah peristiwa turunnya perintah Allah Sa’ie berjalan dari Safa ke Marwah sebanyak tujuh kali. Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Bukit al-Safa dan al-Marwa itu adalah dari syiar-syiar Allah. Oleh itu, sesiapa yang mengerjakan haji atau mengerjakan umrah, maka tiada apa-apa kesalahan baginya untuk berkeliling pada kedua-duanya dan sesiapa yang mengerjakan dengan sukarela amalan yang baik, maka sesungguhnya Allah berterima kasih dan Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 158)

Ibadah Sa’ie menjadi sebagai salah satu rukun menunaikan haji dan umrah bagi menghayati pengorbanan yang dilakukan oleh Saidatina Hajar. Begitu besar penghargaan yang diberikan Allah SWT kepada hambaNya yang patuh dan berkorban dalam melaksanakan perintahNya.

Anggota pertahanan menjadi struktur terpenting dalam sistem pentadbiran negara. Pengorbanan angkatan pertahanan dalam memastikan keamanan dan kestabilan negara selayaknya mendapat penghargaan bukannya cemuhan dan diperlekehkan. Saya cukup kesal dengan kenyataan dangkal yang menghina oleh seorang ahli perniagaan dan antara penyumbang dana kepada Pakatan Harapan, Koon Yew Yin. Kebebasan bersuara tidak seharusnya disalah guna dan dikhianati melalui kenyataan bersifat bongkak serta biadab, apatah lagi terhadap tentera yang menjaga keselamatan negara.

Apakah ada asas yang konkrit menunjukkan anggota pasukan keselamatan negara hanya ‘makan dan tidur’ sahaja atau kenyataan tersebut tidak lebih sekadar membina persepsi negatif terhadap anggota keselamatan negara yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera?

Peristiwa hitam, pencerobohan pengganas Sulu dan serangan di Lahad Datu pada Februari 2013 telah memberikan kesan yang besar kepada keselamatan negara. Dua orang anggota Komando 69 telah terkorban di Kampung Tanduo dan enam anggota polis telah terkorban dalam serangan di Kampung Simunul, Semporna. Pencerobohan ini telah membuktikan bahawa ancaman keganasan wujud dalam pelbagai rupa. Ancaman keganasan bukan sahaja datang daripada rangkaian pengganas antarabangsa seperti Daesh dan Al-Qaeda, tetapi daripada kumpulan-kumpulan kecil.

Dalam mendepani globalisasi yang mendedahkan negara kepada ancaman keselamatan daripada pelbagai sudut, sepatutnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diperkukuhkan bukannya dikecilkan saiznya dan dikurangkan peruntukan atas alasan kemelesetan ekonomi. Pertahanan negara tidak boleh diperjudikan atas apa alasan sekalipun.

Menjadi keutamaan kepada Kementerian Pertahanan membela nasib anggota keselamatan negara, menyelesaikan isu dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera 2018 (LTAT) sehingga kini masih menjadi teki-teki. Kerajaan terdahulu biasanya akan mengumumkan dividen LTAT pada awal tahun. Bagi tahun 2017 di bawah BN, LTAT telah mengumumkan dividen 12.5%. Menteri Pertahanan pernah berjanji akan mengumumkan dividen 2018 LTAT pada bulan Februari lalu, tetapi sehingga kini janji tinggal janji, takkan masih menyalahkan pentadbiran terdahulu atas kelewatan tersebut.

Pelaburan terbesar LTAT adalah dalam kumpulan Boustead Holdings. Semasa BN mentadbir negara Boustead tidak pernah mengalami kerugian. Pada tahun 2017, Boustead beroleh keuntungan sebanyak RM 876 juta. Pada tahun 2018 pula, Boustead mengalami kerugian sebanyak RM 488 juta, jangan kerana hendak menampung kerugian berlaku pula penjualan aset secara besar-besaran. Hotel Royale Chulan di Bukit Bintang telah dijual kepada syarikat Singapura walaupun menteri berkenaan beberapa kali menafikannya.

Pengorbanan anggota keselamatan dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara tidak boleh diukur dengan wang ringgit semata-mata. Pengorbanan mereka perlu dihargai, sebagai tanda penghargaan kepada mereka semasa menjawat jawatan sebagai Menteri Pertahanan (2009-2013) saya telah meminta kementerian membuat pelarasan skim gaji baharu kepada warga ATM sekurang-kurangnya menyamai skim gaji anggota polis dan kakitangan perkhidmatan awam lain.

UMNO sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan anggota tentera yang berada di barisan hadapan menjaga keselamatan negara, tanpa keringat mereka Malaysia tidak akan mencapai keamanan dan kemakmuran seperti sekarang. UMNO akan menjadi mata dan telinga anggota keselamatan dan rakyat bagi memastikan usaha-usaha yang dilakukan pihak tertentu bagi mewujudkan persepsi negatif kepada ATM dapat dikekang dengan sebaik-baiknya.

AHMAD ZAHID HAMIDI
#demiummah
#akhiratdidepan

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.