“Haramkan Dong Zong”, Pertubuhan Rasis Sempit – Ismail Sabri


KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi peringatan kepada Dong Zong bahawa mereka perlu ingat dan sedar di mana mereka berpijak dan langit mana yang mereka sedang junjung hari ini.

Tegas Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat itu, negara ini adalah Tanah Melayu dan majoritinya masih Melayu Islam.

“Jangan dek kerana sikap Dong Zong terlalu lantang ini bakal mengundang semula kepada pertembungan kaum yang pernah berlaku pada 13 Mei 1969 satu ketika dahulu.

“Dong Zong jangan jadi ‘Pelampau Cina’ yang akhirnya membakar kemarahan orang Melayu Islam yang boleh mengundang perpecahan antara kaum,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Ismail juga amat setuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Mahathir bahawa Dong Zong ini merupakan satu pertubuhan yang rasis dan justeru itu beliau mencabar kerajaan supaya mengharamkan Dong Zong.

“…atas dasar menyelamatkan Malaysia dari terjerumus ke dalam senarai negara bergolak atau negara yang tidak selamat apabila berlaku pertembungan etnik, kaum dan agama.

“Negara pasti tidak aman jika Dong Zong terus dibenarkan bersuara lantang. Dong Zong harus menghormati bangsa majoriti (Melayu) di Malaysia dan teras budayanya juga adalah Melayu.

“Pasti api kebangkitan Melayu Islam bisa saja membakar setiap kulit Chauvinist yang tidak sedar di mana bumi dipijak dan langit mana yang mereka junjung,” tambahnya lagi.

Ini kerana katanya, seperti biasa sejak dari dahulu jika terdapat isu yang berkaitan kaum Cina maka Dong Zong yang akan menjadi juaranya malah jika wujud isu berkaitan penentangan terhadap perkara-perkara berkaitan dengan Melayu dan Islam maka Dong Zong jugalah akan menjadi pemain utamanya.

“Apakah kita sekarang ini di bawah Kerajaan Dap-PH (Pakatan Harapan) akan berterusan berbicara dan dihidangkan dengan isu perkauman dan tuntutan-tuntutan melampau Dong Zong.

“Dalam soal tulisan khat dan tulisan jawi ini walau Tun Mahathir selaku Perdana Menteri telah membuat keputusan yang amat jelas seperti ‘Keputusan mengenai khat adalah muktamad’, seharusnya tidak lagi timbul pertikaian dari Dong Zong serta Ahli-ahli Parlimen dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Dap kerana ia merupakan keputusan kerajaan yang diwakili juga oleh Dap.

“Kenapa lagi perlu petisyen dan sebagainya. Mereka sengaja mengaitkan isu jawi dengan agama sedangkan jawi hanya tulisan Arab dan khat pula merupakan seni tulisan,” ujar Ahli Parlimen Bera itu lagi.

Mengulas lanjut Ismail menjelaskan, seperti yang diketahui Dong Zong merupakan salah satu Hua Tuan (Persatuan-Persatuan Cina Utama Malaysia) dari lebih 2,065 persatuan Cina yang memainkan peranan dalam mengemukakan tuntutan di dalam Dokumen Siqiu.

“Pelbagai tuntutan yang mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu Bumiputera Islam. Pelbagai perkara dalam perlembagaan cuba mereka ubah dan hapuskan untuk melenyapkan hak istimewa orang Melayu.

“Setiap perkara yang berkaitan orang Melayu menjadi masalah kepada Dong Zong. Apakah Dong Zong ini ‘Pelampau Cina’ yang menjadi ‘tangan jahat’ bagi pihak bangsa Dap?

“Apakah tulisan khat yang menjadi sebahagian dari budaya orang Melayu Islam seawal 1303 (Batu Bersurat Terengganu) itu dilihat sebagai ancaman kepada bangsa Dap? Apakah Dong Zong lupa bahawa Malaysia ini Tanah Melayu dan majoritinya juga Melayu Islam? Soalnya.

Ismail turut membidas Dong Zong kerana menentang penubuhan Sekolah Wawasan di mana Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil dikumpulkan dalam satu kampus atas alasan kononnya tidak mahu budaya Melayu diterapkan kepada anak-anak mereka nanti.

“Antara tuntutan lain Dong Zong yang ada dalam Siqiu ialah menuntut agar sistem kuota di universiti, penjawat awam, pinjaman dan bantuan pelajaran dihapuskan dan digantikan dengan sistem meritokrasi atau berasaskan kebolehan dan pencapaian,” katanya.

Seterusnya menurut Ismail, Dong Zong juga menjadi pemain utama menggesa kerajaan supaya memenuhi tuntutan-tuntutan seperti mana yang terkandung di dalam dokumen Siqiu.

“Dong Zong juga merupakan pemain utama dalam menggesa kerajaan mengiktiraf Sijil UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) dan juga seawal pemerintahan kerajaan Dap-PH, Dong Zong menggesa agar bantuan kerajaan disalurkan kepada Sekolah-Sekolah Persendirian Cina Menengah dan Rendah.

“Kerajaan Dap-PH secara terus merealisasikan tuntutan Dong Zong ini apabila memasukkan Sekolah Persendirian Cina sebanyak 60 sekolah dengan peruntukan RM12 juta di bawah peruntukan SJK (C) sebanyak RM50 juta yang berada di luar sistem atau dasar Pendidikan Negara sebagai sekolah yang mendapat peruntukan kerajaan dan secara tidak langsung ianya bertentangan dengan dasar kerajaan.

“Ini juga merupakan tuntutan yang ada dalam Siqiu,” jelasnya lagi.

Justeru itu Ismail menganggap tuntutan Dong Zong bukan lagi tuntutan tetapi seolah suatu perkara yang harus diutamakan dalam kerajaan Dap-PH hari ini.

“Untuk kepentingan mereka semuanya lulus dan ‘OK’ tetapi apabila sampai kepada orang Melayu Islam dalam bab tulisan khat pun mereka menentang dan bersuara lantang dengan pelbagai cara,” tegasnya sekali lagi. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit