Bantah Khat, Hina Tentera: Serangan Terhadap Jiwa Keharmonian Dan Keamanan Negara – UMNO Perak
IPOH, 14 Ogos – UMNO Perak menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak tunduk kepada tekanan bagi menghalang pengajaran tulisan khat jawi serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang menghina anggota pasukan keselamatan.
Tegas Ketuanya, Datuk Saarani Mohamad, perkara sedemikian jika dibiarkan berlarutan akan mengancam kemurnian negara yang dipertahankan sejak merdeka lagi.
Bantahan terhadap pengajaran tulisan khat jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) serta penghinaan terhadap anggota tentera baru-baru ini merupakan satu serangan terhadap jiwa keharmonian serta keamanan negara.
Mengulas lanjut, Saarani yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berkata tulisan jawi merupakan satu tulisan yang wujud di negara ini telah digunakan sejak zaman pemerintahan kerajaan Melayu Melaka sehingga zaman kolonial Inggeris.
“Mempelajari tulisan jawi tidak bermakna ia proses ‘Memelayukan’ atau ‘MengIslamkan’ orang bukan Melayu dan bukan Islam.
“Mempelajari tulisan jawi bukanlah usaha rasis kerana ia tidak akan menghakis serta mengancam kewujudan tulisan Cina atau Tamil. Ia semata-mata mengembangkan lagi minda pelajar dalam menghargai kesenian serta budaya negara.
“Ia juga merupakan usaha untuk memurnikan budaya Malaysia, serta mempelajari sejarah negara. Sebarang usaha menjadikan ia sebagai isu perkauman dan rasis adalah langkah dangkal serta tidak cerdik,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, tidak ada salahnya mempelajari tulisan yang wujud turun-menurun di negara ini.
“Janganlah isu ini dipolitikkan serta dijadikan isu perkauman.
“Hanya mereka yang jumud pemikiran memandang isu ini secara negatif,” katanya lagi.
Dalam perkembangan yang berkaitan, Saarani juga kesal terhadap kenyataan yang buat oleh jutawan pro-PH serta penyumbang dana kepada parti itu, Koon Yew Yin yang menyifatkan anggota tentera tidak berbuat apa-apa hanya makan dan tidur serta tidak pernah melepaskan sebarang tembakan kecuali di lapangan sasar.
“Tentera adalah barisan hadapan pertahanan negara serta tonggak kesejahteraan dan keamanan yang dinikmati hari ini.
“Tanpa tentera, kekayaan yang dikumpul oleh Yew Yin selama ini tidak akan dapat dinikmati.
“Janganlah dipandang hina anggota pasukan keselamatan yang berjuang mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara setiap masa,” tempelaknya.
Bagaimanapun apa yang menghairankan ujar ADUN Kota Tampan itu, adalah sindrom kebisuan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bekas-bekas tentera seperti Patriot yang selama ini mendakwa mempertahankan ahli-ahlinya.
“Sebelum ini Patriot amat lantang bersuara mempertahankan anggota serta bekas tentera.
“Malangnya apabila anggota tentera dihina sebegini rupa, mereka seolah-olah hilang keberanian untuk bersuara mempertahankan ahli-ahli mereka,” bidasnya. – UMNO ONLINE