Kereta Nasional Ketiga… Kerajaan Harus Jujur
KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan membangkitkan beberapa persoalan berhubung pengumuman Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bahawa syarikat DreamEdge Sdn Bhd akan menjadi peneraju utama kepada syarikat kereta nasional ketiga.
Menurut beliau pada awal pengumuman berkenaan projek kereta nasional ketiga ini, kerajaan telah menyatakan bahawa projek ini tidak akan menggunakan duit rakyat atau dana awam.
“Namun tidak lama selepas itu, rakyat dimaklumkan pula bahawa sejumlah RM20 juta akan diperuntukkan kepada projek kereta nasional ketiga dan perbelanjaan lain akan dilaksanakan oleh pihak swasta.
“Namun menerusi pengumuman pemilihan syarikat DreamEdge hari ini, rakyat menjadi semakin keliru. Ini kerana jika dilihat latar belakang syarikat DreamEdge ini, pemegang saham utamanya adalah syarikat Venture Tech.
“Syarikat Venture Tech ini pula adalah milik penuh Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), salah satu agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri,” katanya menerusi catatan di Facebooknya, di sini, hari ini.
Maka persoalannya tambah Shahril adakah dengan pemilihan syarikat DreamEdge yang mempunyai pertalian jelas milikannya dengan kerajaan tidak akan menggunakan wang rakyat atau dana awam?
Rakyat juga tambahnya lagi masih belum lupa pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini kononnya ada hartawan dari negara Qatar yang bersedia membuat pelaburan besar bernilai trilion ringgit dalam projek kereta nasional ketiga ini.
“Apa telah terjadi dengan cadangan pelaburan ini sehingga akhirnya syarikat berkaitan kerajaan juga yang terpilih?
“Kerajaan seharusnya jujur dengan rakyat tentang perancangan dan hala tuju projek kereta nasional ketiga ini, tetapi apa yang telah terjadi membuktikan kerajaan tidak mempunyai perancangan rapi sehingga keluarnya pelbagai kenyataan mengarut yang bercanggah dari semasa ke semasa,” ujarnya.- UMNO ONLINE