Tulisan Jawi; Kerajaan Jangan Buat Pusingan U, Tunduk Kepada Tekanan

PULAU PINANG 7 Ogos – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad didesak supaya tidak membuat pusingan U berhubung pendirian kerajaan dalam mengekalkan dasar pendidikan tulisan khat Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 bermula tahun depan.

Aktivis politik yang juga bekas ahli DAP, Rahmad Isahak berkata, Dr. Mahathir tidak wajar tunduk kepada tekanan mana-mana pihak termasuk DAP sekali pun menerima bantahan rasmi berhubung pelaksanaan dasar itu.

Menurut beliau, DAP berhak mengemukakan pendirian rasmi berhubung dasar itu namun sebagai sebuah kerajaan yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, dasar tersebut perlu dikekalkan bagi memperkasakan aspek hubungan kaum di negara ini.

Katanya, soal pendidikan seperti isu tulisan khat Jawi hanya berbentuk sebagai pengisian tambahan dalam aspek seni bahasa di samping elemen penambahan pengetahuan mengenai seni warisan dan sejarah Melayu.

“Isu yang diangkat bukannya satu modul baharu tetapi sebagai satu kesinambungan daripada polisi kerajaan terdahulu yang memerlukan penambahbaikan atas nama pendidikan dan pengetahuan murid berbilang kaum sekali gus tidak sepatutnya dijadikan isu politik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rahmad turut mempersoalkan mengapa isu tulisan khat Jawi tersebut secara tiba-tiba menjadi pertikaian dan perdebatan sedangkan sudah dilaksanakan sejak 2015 tanpa sebarang masalah.

Sehubungan itu, katanya, pertikaian mengenai isu tersebut perlu dihentikan segera kerana dibimbangi boleh mencetuskan perbalahan kaum hanya semata-mata kerana kebimbangan tidak berasas pihak tertentu.

“Atas dasar kepentingan generasi berbilang kaum dalam mendalami sejarah bahasa Melayu yang tiada kaitan dengan subjek Pendidikan Islam, maka dasar tulisan khat Jawi ini perlu dipertahankan dan kerajaan tidak perlu tunduk kepada desakan mana-mana pihak dalam pelaksanaannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit