MAIPP Patut Desak Kembalikan Peruntukan, Bukan Menikus… Perah Duit Sumbangan Masjid

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ir Dr Shaik Hussein Mydin membidas tindakan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) yang memerah duit sumbangan masjid bagi memenuhi kantung tabung wakaf institusi tersebut.

“10% duit sumbangan tabung masjid hak anak kariah pun MAIPP nak?

“Carilah jalan lain untuk menambahkan tabung wakaf bukan dengan memerah duit sumbangan masjid yang perlu digunakan bagi tujuan mengimarahkan masjid dan kebajikan anak-anak kariah,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Dr Shaik Hussein berkata demikian mengulas mengenai sebuah surat yang tular dari MAIPP yang meminta masjid di seluruh negeri Pulau Pinang menyerahkan sepuluh peratus dari hasil sumbangan jemaah setiap Jumaat berkuatkuasa Julai lalu, atas tujuan sebagai dana membiayai pembelian projek-projek tanah dan hartanah.

Justeru kata Ketua UMNO Bahagian Bagan itu lagi, sepatutnya MAIPP mendesak kerajaan negeri Dap kembalikan peruntukan wajib dan bukan menikus menuruti kemahuan kerajaan.

“Sepatutnya MAIPP mendesak kerajaan negeri Dap untuk mengembalikan peruntukan wajib tapak masjid / surau yang perlu diwakafkan bagi setiap pembangunan baru.

“Status peruntukan tapak surau / masjid telah ditukar kepada status peruntukan tapak rumah ibadat selepas 2008.

“MAIPP tidak sepatutnya menikus depan tuannya dan terus merampas hak anak-anak kariah,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit