Isu Tulisan Khat/Jawi: Jerat Politik Perkauman Dap Sejak Dahulu – Pemuda MCA
KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata Dap adalah punca segala permasalahan yang timbul pada hari ini akibat daripada retorik dan pendekatan politik mereka yang ekstrem, pelampau dan berbaur perkauman.
Kata Jurucakap MCA itu dalam satu hantaran di Facebook, masyarakat majmuk yang selama ini aman dan harmoni dipecahbelahkan kerana rakyat termakan dengan hasutan, pembohongan dan taktik kotor Dap.
Justeru, Mike bimbang isu tulisan khat dalam subjek bahasa Melayu di sekolah vernakular yang menjadi topik hangat kebelakangan ini jika tidak ditangani dengan bijak dan rasional akan menular menjadi isu perkauman dan agama.
Ini kerana isu tersebut adalah salah satu ‘hasil’ pendekatan politik perkauman yang biasa dimainkan oleh Dap selama berpuluh tahun ini, jelas Mike.
“Izinkan saya untuk mengupas agak panjang lebar hari ini untuk pemahaman semua pihak supaya kita semua sedar dan tidak terperangkap dalam jerat perkauman Dap ini.
“Mengapa saya kata isu ini adalah ‘hasil’ pendekatan politik perkauman Dap?
“Mari kita tengok balik kepada kenyataan yang dibuat oleh Lim Kit Siang pada tahun 1984. Ia jelas menunjukkan bahawa Lim Kit Siang begitu lantang membantah pembelajaran tulisan Jawi dalam sekolah kerajaan masa itu,” katanya yang turut melampirkan pautan kenyataan Penasihat Dap tersebut (klik di sini).
Sehubungan itu ujarnya, secara jelas isu ini telah digunakan sebagai modal politik Dap untuk meraih undi golongan bukan Melayu.
“Provokasi yang dilakukan oleh Dap ke atas masyarakat bukan Melayu itu begitu berjaya sehingga ia telah memberi persepsi yang sangat negatif kepada masyarakat terhadap pembelajaran tulisan jawi.
“Maka tidak hairan kenapa reaksi masyarakat orang bukan Melayu begitu agresif apabila perkara ini diumumkan oleh kerajaan. Ini tidak lain tidak bukan adalah ‘hasil’ daripada taktik ‘brain wash’ Dap yang bersifat memusuhi bangsa lain,” kata Ketua Pemuda MCA Wangsa Maju itu lagi.
Mengulas lanjut, Mike turut mengutarakan satu senario yang berkaitan.
“Saya juga ingin mengetengahkan satu ‘point’ di sini di mana ramai yang terlepas pandang. Apabila pengumuman dibuat kerajaan sedia ada berhubung penambahan silabus seni khat ini, Dap dimaki hamun oleh masyarakat bukan Melayu, terutamanya kaum Cina. Maklumlah sebelum Dap berkuasa, isu sebegini banyak digunakan oleh mereka untuk mendapat sokongan, jadi akhirnya ‘kerana mulut badan binasa’ dan termakan diri sendiri.
“Jadi puak-puak Dap ini mula ‘spin’, bukan main cepat mendakwa cadangan ini dibawa dari zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) lagi, bagi cuba menambat hati penyokong mereka yang sudah kehilangan kesabaran terhadap mereka.
“Sebab utama mereka cepat menuding jari ke atas BN ialah untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap BN seolah-olah BN adalah punca kepada segala kekecohan yang berlaku pada hari ini,” bidasnya.
Bahkan tambah Mike, tidak cukup dengan fitnah dan hasutan, Dap juga menggunakan taktik lamanya; menjadikan MCA sebagai kambing hitam.
“RBA (‘Read Bean Army’ – pasukan ‘cybertroopers’) Dap dengan cepat menyebarkan penterjemahan petikan akhbar Cina, kononnya MCA menentang ‘habis-habisan’ pembelajaran seni khat ini.
“Tetapi cuba dapatkan pengesahan daripada mereka yang boleh membaca bahasa Cina, penterjemahan RBA ini jauh lari maksudnya daripada konteks asalnya.
“Sudah biasa RBA Dap gunakan taktik ini, bagi mengalih perhatian orang ramai dan seterusnya cuba provok ketidaksenangan antara MCA dengan rakan-rakan komponen mereka, UMNO khususnya,” tegasnya.
Sikap Dap itu jelas Mike menjadi bukti Dap adalah perosak perpaduan bangsa dan negara.
“Jadi sahabatku, tak nampak lagikah permainan Dap? Sudah jelas Dap adalah perosak perpaduan bangsa dan negara, percaya lagikah anda kepada mereka?
“MCA, di sebaliknya, lebih cenderung kepada pendekatan kesederhanaan dan menerusi musyawarah, kami yakin segala perbezaan dan perselisihan pendapat di antara kaum dapat ditangani dengan lebih rasional, terbuka dan inklusif, tanpa menggadaikan kesejahteraan yang kita kecapi sejak merdeka lagi,” katanya lagi. – UMNO ONLINE