Khalid Samad Contoh Pemfitnah Di Bawah Telunjuk Dap


KUALA LUMPUR, 29 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Noor Hariri bin Mohamed Noor melihat elemen adu domba dan fitnah ini tidak pernah kurang dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Khalid Samad dan PH-Dap.

Katanya, baru-baru ini negara dikejutkan dengan berita penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW, dan ianya mendapat respons daripada seluruh rakyat negara ini yang amat marah dan membuat lebih 500 laporan polis terhadap si pelaku,

“Namun, dalam ramai-ramai Menteri kabinet, terserlah dua Menteri suruhan Dap yang seolah-olah membela si pelaku dengan mengatakan hal ini perkara kecil dan terang-terang memfitnah UMNO pula yang merancangnya.

“Ianya sudah sebati dalam diri dan menjadi modus operandi mereka dalam membangkitkan kemarahan ramai dengan rekaan cerita palsu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu katanya, Pemuda UMNO Negeri Kelantan menolak sekeras-kerasnya perilaku fitnah ini dan sependapat dengan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia bahawa Khalid sepatutnya mendesak agar siasatan dan tindakan segera diambil ke atas penghina Agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

“Khalid Samad segeralah bertaubat dan jangan berperangai munafik dek kerana mengambil hati Dap dengan sanggup menggadai prinsip akidah sebagai seorang Islam,” katanya lagi.

Dilaporkan, pagi tadi Dr Asyraf telah membidas tindakan pemimpin Parti Amanah Negara (Pan) itu di dalam Twitter dan Facebook yang menuduh seorang aktivis masyarakat berbangsa Melayu, Muhsin Latheef menyamar sebagai Wendy Loong, yang membuat ‘posting’ menghina Nabi Muhammad S.A.W.

Khalid turut mengaitkan isu tersebut dengan UMNO dan PAS.

Bagaimanapun, setelah dikecam Khalid menarik balik dan mengedit status tersebut. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit