MB Johor Terdesak Hingga Gelapkan Fakta, Ubah Rekod… Ingatlah, ‘Numbers Don’t Lie’
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Najib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membidas Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal yang terdesak menunjukkan prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) hingga menggelapkan fakta dan mengubah rekod.
Tegas Khaled, tindakan tersebut semata-mata mahu menunjukkan dirinya baik bukanlah satu langkah yang jujur dan profesional.
“Ingatlah bahawa ‘numbers don’t lie’.
“YAB Menteri Besar harus memberikan kepimpinan kepada seluruh kerajaan negeri bagi mencapai prestasi yang baik. Bukanlah menutup realiti dan membiarkan diri dikaburi oleh perasaan optimistik yang keterlaluan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khaled berkata demikian mengulas mengenai status Facebook Dr. Sahruddin yang memaparkan banyak statistik yang salah, malah kenyataan beliau sebenarnya menyeleweng dan tidak tepat.
Merujuk juga kepada kenyataan Dr Sahruddin yang melaporkan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) pada tahun 2017 hanyalah pada 5.2%, sekali gus membuktikan ‘Negeri Johor merupakan salah satu daripada hanya tiga negeri yang berjaya mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya’, Khaled berkata:
“Kenyataan yang bertujuan untuk menunjukkan bahawa PH Johor telah berjaya mengatasi rekod tahun sebelum ini di Barisan Nasional (BN), adalah salah.
“Ini kerana, berdasarkan Laporan Sosioekonomi Negeri 2018, pertumbuhan KDNK Johor tahun 2017 pada harga malar 2015 adalah 5.9%,(bukannya 5.2%) seperti dalam carta yang dilampirkan di bawah. Ini bermakna kadar pertumbuhan Johor pada tahun 2017 (5.9%) adalah tinggi dari kadar pada tahun 2018 (5.6%).
“Maka, dakwaan bahawa Johor adalah antara tiga negeri yang berjaya mencatatkan ‘pertumbuhan lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya’ adalah salah. Malah, tiga negeri yang berjaya mencatatkan pertumbuhan lebih baik pada tahun 2018 sebenarnya adalah negeri Perak, Perlis dan W.P. Labuan dan bukannya Negeri Johor,” jelas Khaled lagi.
Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana berjaya meneruskan pencapaian baik yang direkodkan oleh kerajaan BN di mana laporan Sosioekonomi Negeri 2018 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan pertumbuhan (KDNK) negeri Johor bagi tahun 2018 adalah pada kadar 5.6% dan merupakan antara enam negeri yang mencatatkan pertumbuhan melebihi paras nasional (4.7%).
Selain itu, Menteri Besar Johor yang kedua dari PH tersebut turut menyatakan bahawa “Pertumbuhan ini didorong oleh prestasi yang memberangsangkan dalam sektor Perkhidmatan serta pertumbuhan yang mampan dalam Pembuatan”, tambah Khaled.
“Sebenarnya, Laporan Sosioekonomi Negeri 2018 melaporkan bahawa “Sektor Pembuatan Johor mencatatkan pertumbuhan sederhana iaitu 5.1% pada tahun 2018 berbanding 6.9% pada tahun 2017 yang didorong oleh subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal.”
“Selain itu, Laporan Sosioekonomi Negeri 2018 juga merekodkan bahawa “sektor Pertanian Johor bertumbuh lebih perlahan pada kadar 0.5 peratus (2017: 7.6%) pada tahun 2018. Pertumbuhan ini dipengaruhi oleh penyusutan pada subsektor kelapa sawit kepada negatif 2.1 peratus berbanding peningkatan 17.3 peratus pada tahun 2017.”
“Namun, tahniah kepada kerajaan negeri kerana sektor perkhidmatan dan sektor pembinaan negeri Johor mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik bagi tahun 2018, berbanding tahun 2017,” ujar Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang.
Justeru itu, Khaled berkata beliau sedar keterdesakan Menteri Besar Johor itu dalam menunjukkan prestasi PH Johor.
“Malah, sebagai anak Johor, saya sendiri akan berasa gembira dan senang jika prestasi ekonomi Johor meningkat dan berada dalam keadaan baik.
“Saya mendoakan agar ekonomi negeri Johor terus berkembang demi kebaikan untuk semua Bangsa Johor,” katanya. – MEDIA UMNO