Kerjasama UMNO-PAS, Mengapa Dap Yang Berasa Panas – Reezal Merican
KUALA LUMPUR, 26 Julai – Lim Kit Siang dan Dap perlu membawa perangai politik lebih beradab dan tertib, tegas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Katanya, Dap perlu tinggalkan budaya politik zaman gelap ke suatu era yang lebih menghormati teras Perlembagaan termasuk berdepan kerjasama UMNO-PAS dalam parameter politik.
“Bukan semahunya menghina Islam dan memberi jenama buruk seperti taliban dan teokrasi,” bidas beliau dalam kenyataan hari ini.
Katanya, tidak ada orang politik yang paling ‘terkesan, khuatir dan gementar dengan kerjasama UMNO dan PAS selain seorang yang bernama Kit Siang.
“Kekhuatiran Kit Siang cukup jelas apabila menulis artikel panjang mengecam kedua-dua pimpinan, Presiden UMNO dan PAS.”
Maklum beliau, artikel di dalam Malaysiakini bertajuk ‘Thanks Again, Zahid, for the latest explanation on klepto-theocracy’ itu gambaran kegelisahan Kit Siang dengan menggelar kerjasama UMNO-PAS dengan jenama yang cukup kasar.
“Saya fikir, setelah menjadi kerajaan; dan begitu ramai ‘komrad’ mereka yang bergelar Menteri – Kit Siang dan Dap akan berubah dan menjadi lebih beradab.
Rupanya tidak. Kit Siang dan komrad Dap tidak akan pernah berubah.
“Kit Siang membangkitkan lagi soal penolakan ICERD. Jiwa politik Dap masih geram dan gelora dengan tindakan pembatalan ICERD.
Dalam bahasa halus, katanya, Kit Siang menganggap tindakan Tun Mahathir membatalkan ratifikasi, berasaskan penolakan majlis raja-raja, dan ‘suara keramat’ majoriti Melayu/Islam, satu dosa politik yang besar kepada Dap!
“Inilah wajah dan watak Dap sebenar. Selagi mereka tidak punya semua; selagi itulah mereka bersuara keras – walau terpaksa menentang ‘asas Perlembagaan’ yang membentuk negara bertuah ini.”
Katanya, Dap boleh memberi gelar apapun jua kepada UMNO dan PAS, tetapi selagi majoriti rakyat menganggapnya sebagai ‘hikmah politik’ terbaik pasca PRU14, Dap sudah perlu menerima hakikat itu.
“Saya ingin memberi ingatan kepada Kit Siang dan Dap agar jangan terlalu celupar menghina kerjasama UMNO dan PAS. Kerjasama ini kerjasama ‘politik’; dan Dap perlu bersikap anak jantan dan berdepan dengannya dalam kerangka politik. Jangan membawa agama Islam di dalam ruang perdebatan.
“Orang Melayu dan umat Islam sedar bahawa Dap sedang menikmati ‘laba politik’ paling mewah dalam sejarah politiknya. Kerjasama UMNO-PAS ini mampu merubah suasana politik. Kalaupun berubah, ia sebagai ‘respon’ kepada kesombongan dan keangkuhan politik mutakhir ini.
“Kit Siang terus naik hantu dan cukup hangus hati kerana projek besar ICERD dan Statut Rom gagal direalisasikan. Ini pra-syarat dan tiang seri ‘Malaysia Baharu’ – dan ia runtuh sebelum mampu terpacak kemas. UMNO dan Pas dikenalpasti sebagai punca,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas. – MediaUMNO