Amalan Malaysia Baru Alah Kritikan, Usaha Alihkan Isu Tutup Kelemahan PH

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Adakah ini menjadi amalan Malaysia Baru di mana pihak kerajaan begitu sensitif serta alah (allergic) dengan kritikan sehinggakan ciapan twitter YB Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menjadi isu besar?

Demikian persoalan yang dilontarkan oleh Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Saarani Mohamad yang merujuk kepada sidang akhbar YB Aulong Nga Kor Ming mendesak Dr Zambry serta YB Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib untuk memohon maaf kerana kononnya mereka menghina DUN.

“Inikah prinsip ‘kebebasan bersuara’ yang dilaung-laungkan oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini?

“Amat malang apabila isu ciapan twitter ini dijadikan usaha mengalih-pandang untuk menutup masalah yang dihadapi oleh Kerajaan PH yang kucar-kacir dengan isu politik dalaman, kelemahan pentadbiran dan isu-isu moral,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau memetik ciapan Twitter Dr Zambry yang meluahkan rasa yang menyifatkan Sidang DUN pada 23 Julai sebagai ‘hari terburuk’ dalam sejarah sidang DUN apabila YB Speaker Datuk Ngeh Khoo Ham, membuat keputusan untuk menerima usul bagi ahli-ahli DUN mengistiharkan harta kepada beliau.

“Pihak pembangkang tidak bersetuju dengan usul ini, kerana sebarang pengisytiharan harta mesti dibuat kepada pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang mempunyai kuasa untuk membuat sebarang penyiasatan.

“Malah pada sidang yang sama saya sebagai Ketua Pembangkang, telah menegaskan berkali-kali, pihak kami tidak menolak cadangan berkenaan tetapi dengan syarat, pengisytiharan itu dibuat kepada SPRM dan bukan kepada speaker dewan.

“Ini adalah asas kepada doktrin pengasingan kuasa antara pihak perundangan, eksekutif dan kehakiman yang menjadi prinsip asas amalan demokrasi. Jika ini dicabuli, ia akan memberikan kuasa tanpa had kepada satu pihak yang menukarkan amalan demokrasi menjadi diktator.”

Tegas beliau, Speaker DUN, menjadi “judge, jury and executioner” kerana ia mencabul pengasingan kuasa antara tiga pihak ini.

“Sejarah membuktikan sewaktu mereka menjadi pembangkang sebelum ini, pelbagai tuduhan, tohmahan, kejian serta maki hamun yang dilemparkan di media sosial terhadap Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Jika dibandingkan dengan mereka ketika mereka menjadi pembangkang, hari ini UMNO dan PAS lebih tertib dan beradab. Agaknya mereka lupa peristiwa sidang DUN pada Mei 2009, apabila institusi DUN dihina dan diaibkan dengan tindakan yang tidak bertamadun.”

Katanya lagi, siapa yang tidak kenal dengan Nga yang terkenal dengan hujah-hujah provakasi dan biadapnya pada sidang DUN, namun tidak ada tindakan yang pernah diambil terhadap beliau namun kini setelah menjadi Kerajaan mereka berlagak suci dan tidak boleh ditegur.

“Apa yang pasti ialah Dap menggunakan kuasa mereka dengan bersikap kuku besi. Inilah contoh “keangkuhan kuasa” (arrogant of power) Kerajaan PH yang ditunjangi oleh Dap.” – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit