Jangan Lupa Kenapa UMNO Ditubuhkan, Hayati Perjuangannya – Tengku Adnan
KUALA LUMPUR, 20 Julai – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan agar semua ahli-ahli UMNO menghayati kenapa parti ini ditubuhkan 73 tahun lalu.
Katanya, ini penting bagi memastikan semua pihak tahu bahawa perjuangan UMNO adalah berteraskan kepada agama, bangsa dan negara.
“Kenapa UMNO ditubuhkan… Ahli-ahli UMNO perlu tahu dan bukannya menyokong atas individu atau atas ada kepentingan peribadi, kita perlu hayati perjuangannya yang mahu memperjuangkan agama Islam, mempertahankan bangsa dan tanah air kita.
“… malahan cogan katanya ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ juga mesti difahami bahawa kita bangsa Melayu perlu bersatu dan bersetia kepada parti yang kita dukung ini lantas berkhidmat kepada rakyat untuk memastikan perjuangan kita tetap berterusan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata demikian dalam Majlis Perasmian Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Putrajaya yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.
Katanya, jika sekiranya ahli-ahli UMNO bersatu hati dan memahami asas tujuan UMNO maka sudah tentu parti tidak akan goyah.
“Sudah 14 bulan kita beada dalam satu keadaan yang gusar kerana berada dalam pentadbiran kerajaan baru, namun janganlah kita salahkan sesiapa sebaliknya marilah kita muhasabah diri, kita ada kesilapan untuk kita betulkan.”
Dalam masa yang sama beliau melahirkan rasa syukur kerana walaupun UMNO sudah menjadi pembangkang dan kerajaan sudah bertukar di bawah Pakatan Harapan (PH) namun UMNO Putrajaya tetap ada.
“Syabas dan tahniah kepada pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Putrajaya yang tetap melaksanakan tanggungjawab dalam menjayakan persidangan UMNO sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan parti.
“Saya harap semua pihak akan sama-sama untuk meningkatkan usaha dan bekerja keras sebagai persediaan bagi berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 nanti,” katanya. – MediaUMNO