Mereka Yang Setia Dalam Perjuangan Layak Dinobat Pejuang UMNO, ‘Dulu, Kini, Selamanya’

SETIU, 19 Julai – Ahli parti yang setia termasuklah para perwakilan yang menjayakan mesyuarat serta persidangan UMNO peringkat bahagian merupakan mereka yang sejati dalam perjuangan seiring dengan slogan UMNO ‘Dulu, Kini, Selamanya’.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mewakili Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berucap pada majlis perasmian UMNO bahagian Setiu pagi tadi cukup terharu dengan semangat yang ditunjukkan oleh para perwakilan yang masih setia bersama parti.

Menurut beliau berbanding dengan mereka yang lari meninggalkan perjuangan ketika parti kalah baik di peringkat kepimpinan serta pelbagai peringkat lain, ahli yang masih setia hari ini merupakan pejuang hebat dan wira sebenar perjuangan UMNO.

“Tahniah kerana mereka yang berada di depan saya ini adalah wira sebenar perjuangan UMNO. Dalam keadaan kita kalah ramai kawan-kawan kita yang lari meninggalkan kita… termasuklah di peringkat kepimpinan yang kita sanjung sebagai pejuang dan datang berceramah di kampung-kampung mengatakan UMNO hebat, UMNO parti keramat, UMNOlah wadah perjuangan kita, namun apabila kalah semuanya melarikan diri.

“Apakah ini seorang pejuang… seseorang pejuang tidak akan lari dan tidak akan berundur biar mati dalam gelanggang. Kalau seorang pejuang langkah tetap seorang pejuang. Biar mati dikandung tanah tetapi nama dikenang sebagai pejuang.

“UMNO ditubuhkan kerana bukan dengki khianat, bukan atas kemarahan, tetapi UMNO dilahirkan atas linangan air mata orang Melayu untuk mencapai kemerdekaan daripada penjajah British. Sejarah UMNO ini jelas,” katanya di sini, hari ini.

Katanya lagi mereka yang meninggalkan parti tidak akan ke mana dan insya-Allah masa akan menentukannya kelak.

“Sebab itu kita katakan yang mahu meninggalkan UMNO ketika kita kalah biarlah… biarlah Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Pimpinan Sabah seramai enam orang telah masuk balik… wakil rakyat kita yang masuk Pakatan Harapan (PH) ini sekarang sudah umpama cacing kepanasan dan ada yang mula bertanya nak masuk balik.

“Kita sentiasa membuka pintu dan kalau mereka bersalah dan mahu kembali kita o.k, tetapi isi borang semulalah. Kita mesti muhasabah diri dan orang mahu bersama dengan kita, kita terima. Insya-Allah, sebab itu perjuangan kita bukan berakhir dengan kekalahan… Alhamdulillah UMNO hari ini bangkit kembali dengan wajah baru,” ujarnya.

Dalam ucapannya itu, beliau turut melihat kerajaan PH tidak memberikan penjelasan yang betul berhubung pembinaan ECRL.

“Kerajaan PH tipu kita… kalau nak buat perbandingan buatlah secara betul iaitu kalau epal dengan epal. Bandingkan epal dengan durian mana boleh. Mereka tidak beritahu cerita yang sebenar. Kalau ikut jadual sama, jumlah stesen yang sama RM41 bilion hebat mereka.

“Ini tidak… stesen ECRL mereka bagi stesen dulunya Kota Bharu Ke Kuala Lumpur ada 21 stesen, Terengganu ada tujuh stesen dahulu sekarang tinggal empat. Keduanya pula dahulu kita ikut Banjaran Titiwangsa… terowong sahaja RM17 bilion sebab itu kos tinggi. Sekarang pusing ikut Negeri Sembilan. Cakap boleh jimat… kalau dengan jumlah stesen yang sama, jajaran yang sama kita ‘respect’ mereka,” ujarnya lagi.- MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit