Video Sah Tulen: Anwar-Azmin Wajar Bersara Politik
KUALA LUMPUR, 18 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius senario pertelingkahan kepimpinan tertinggi negara yang dilihat begitu rakus berebut jawatan Perdana Menteri sehingga sanggup membuka aib masing-masing melalui pendekatan politik jijik.
Justeru tegas Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki jika disandarkan kepada rasional kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta YB Datuk Seri Azmin Ali meletakkan jawatan jika didapati video seks sejenis yang dikaitkan dengan beliau (Azmin) disahkan ketulenannya oleh pihak berkuasa, maka Anwar Ibrahim juga patut mengambil tanggungjawab yang sama.
Ini kerana jelas beliau Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar juga pada tahun 2011 telah mengeluarkan kenyataan ketika itu mengatakan hasil siasatan forensik video ‘china doll’ berkenaan dengan adegan seks yang dikaitkan dengan Anwar Ibrahim juga adalah tulen.
“Kenyataan ini hampir serupa dengan kenyataan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador hari ini yang mengesahkan ketulenan video yang dikaitkan dengan Azmin Ali.
“Hakikatnya lebih 20 tahun politik tanahair diwarnai dengan skandal politik yang jijik lantaran perbalahan dan perebutan kerusi PM yang semacam tiada kesudahan, sedangkan rakyat berterusan sengsara dek kerana ekonomi negara yang makin menghimpit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Maka Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tegas beliau lagi menyarankan dan mendesak agar kedua-dua pemimpin, Datuk Seri Azmin Ali dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terpalit dengan skandal memalukan negara agar melepaskan jawatan dan bersara daripada politik!
“Buat pimpinan Pakatan Harapan, Pemuda ingin ingatkan bahawa rakyat sudah memilih kamu untuk membela nasib mereka bukannya berebut jawatan dan harta rampasan lepas perang yang tiada penghujungnya sejak PRU 14 lalu.
“Jika tidak mampu menguruskan negara, bubarkan sahaja Parlimen dan serahkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih teraju kepimpinan yang baharu!” ujarnya. – MediaUMNO