RM1 Trilion Hutang Negara Timbul Kerana Perubahan Standard Perakaunan, BN Tak Sorok Angka

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet (JKPK Bajet) Parlimen, Khairy Jamaluddin menegaskan hutang negara yang berjumlah RM1 trilion adalah disebabkan perubahan standard pelaporan perakaunan kerajaan.

Jelas Ahli Parlimen Rembau itu, ia bukanlah kerana angka-angka tersebut disorokkan malah kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN) yang telah menyatakan komitmen untuk melaksanakan standard perakaunan asas akruan.

“Jumlah hutang dan liabiliti kerajaan pada akhir 2018 sebanyak RM1.09 trilion. Jumlah RM1 trilion ini terhasil apabila Kerajaan Persekutuan mengguna pakai standard perakaunan yang terkini iaitu daripada asas tunai (GFSM 1986) kepada asas akruan (GFSM 2014).

“Perpindahan standard perakaunan ini telah dipersetujui oleh kerajaan BN pada tahun 2011 dan diangkat menjadi agenda kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) pada tahun 2015. Menerusinya, kerajaan akan mengguna pakai asas akruan sepenuhnya pada tahun 2021.

“Perbezaan utama antara asas tunai dan asas akruan adalah asas tunai hanya mengambil kira hutang langsung kerajaan manakala asas akruan turut memuatkan jaminan kerajaan (committed GG) dan bayaran komitmen bagi projek kerjasama awam dan swasta (PPP) seperti inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan Bina-Pajak-Pindah (BLT),” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook.

Khairy berkata demikian merujuk laporan akhbar yang telah menyatakan bahawa JKPK Bajet telah mengesahkan hutang negara adalah berjumlah RM1 trilion tetapi terdapat beberapa tajuk berita telah tertinggal perkataan ‘liabiliti’ yang merupakan komponen penting dalam laporan JKPK itu.

Justeru itu terang Khairy, tidak timbul soal kerajaan terdahulu menyembunyikan angka-angka hutang tersebut memandangkan jaminan kerajaan sebelum ini dilampirkan sebagai memorandum di dalam penyata kewangan tahunan.

“Perubahan pertama transisi asas tunai kepada asas akruan boleh dilihat menerusi Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2017 yang mana bayaran komitmen telah diletakkan sebagai salah satu item di dalam penyata perbelanjaan,” tambahnya.

Semalam, Pengerusi JKPK Bajet Parlimen, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata jumlah keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan pada akhir 2018 adalah RM1.09 trilion, berbanding RM1.08 trilion pada akhir 2017.

Selain Khairy sebagai wakil BN, JKPK Bajet itu turut dianggotai Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dari Pakatan Harapan (PH); Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (Wangsa Maju-PH); Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching-PH); Khoo Poay Tiong (Kota Melaka-PH) dan Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi dari Gabungan Parti Sarawak.

Manakala mengenai ‘committed GG’ pula, Khairy menerangkan tanggungan adalah disebabkan hutang yang diterbitkan menerusi syarikat tujuan khas (SPV) bagi projek pembangunan seperti pembinaan KLIA pada awal 1990-an, Jambatan Kedua Pulau Pinang, MRT, LRT3, Lebuhraya Pan-Borneo dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Jumlah pada akhir 2018 adalah sebanyak RM132.7 bilion.

“Bagi bayaran komitmen ianya adalah bagi projek kerjasama awam-swasta menerusi PPP, PFI dan BLT bagi pembinaan pelbagai projek rakyat seperti pembinaan sekolah, universiti serta balai polis,” katanya.

Berhubung dengan kenyataan yang menyatakan 1MDB adalah punca kepada seluruh masalah hutang negara juga adalah tidak benar, tegasnya lagi.

“Namun harus diakui kerajaan perlu menanggung beban 1MDB disebabkan hutang yang dibuat sebelum ini.

“Hutang semasa 1MDB pada ketika ini adalah berjumlah RM32.2 bilion dengan aset hanya berjumlah sebanyak RM10.077 bilion,” ujarnya.

Sehubungan itu, berdasarkan perkara yang telah dinyatakan itu, Khairy berkata jumlah sebenar hutang langsung kerajaan sehingga akhir 2017 adalah RM686.8 bilion tetapi apabila mengambil kira tanggungan jaminan dan bayaran komitmen, maka jumlah hutang dan liabiliti negara adalah berjumlah RM1.09 trilion.

“Walau bagaimanapun, tetap berlaku peningkatan ketara hutang langsung kerajaan iaitu daripada RM686.8 bilion pada akhir 2017 kepada RM741 bilion pada akhir 2018.

“Peningkatan ini antara lain adalah disebabkan pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada Jun 2018 yang telah menyebabkan pengurangan hasil yang sangat ketara,” tegasnya. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.