Dakwaan Kes Rogol Exco Perak: Wanita UMNO Gesa Siasat Tanpa Prejudis, Masyarakat Tuntut Keadilan
IPOH, 18 Julai – Rogol adalah satu tuduhan yang amat serius dalam apa jua keadaan, lebih-lebih lagi apabila ia dilaporkan melibatkan seorang Exco kerajaan negeri dan ahli politik kanan, tegas Ketua Wanita UMNO Negeri Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.
Ujarnya, siasatan menyeluruh harus dilakukan oleh pihak polis dan jika tuduhan difailkan, rakyat mengharapkan pihak berkuasa untuk mendakwa kes ini dengan segera tanpa prejudis kerana ia telah menjadi kes berprofil tinggi.
“Jika orang yang dituduh melakukan jenayah serius ini masih meneruskan tugasan rasmi, menjalankan tugas awam dan bertemu dengan orang awam, sudah pasti akan ada awan hitam berarak menyelubungi atas kepalanya, mengekori setiap langkahnya.
“Jadi sebaiknya beliau direhatkan dari tugasan rasmi,” kata Dr Wan Norashikin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampong Gajah dalam satu kenyataan, semalam.
Jelas Dr Wan Norashikin lagi, isu yang berlaku juga akan memberi kesan kepada diplomatik antara Malaysia dan Indonesia jika tidak ditangani dengan setelus yang mungkin.
“Mangsa rogol yang juga pengadu merupakan pekerja domestik di rumah orang yang dituduh tersebut dan berasal dari negara jiran, Indonesia.
“Kerajaan Indonesia sering berhadapan dengan kes-kes di mana rakyatnya dianiaya pada kadar yang kerap. Sudah pastilah kejadian ini akan membawa kesan diplomatik antara dua negara,” ujarnya.
Tambah Dr Wan Norashikin, semestinya sebarang serangan seksual dalam bentuk fizikal atau sebaliknya terhadap wanita adalah perbuatan yang dikutuk sekeras-kerasnya.
“Masyarakat mahukan siasatan yang menyeluruh terhadap kes ini dan sekiranya tuduhan ini benar maka hukuman yang keras hendaklah dikenakan di sisi undang.-undang,” tegasnya.
Justeru itu katanya, Wanita UMNO Perak berharap pihak polis akan melakukan segala yang diperlukan untuk membawa mana-mana pesalah seksual yang dituduh dengan penuh kuasa undang-undang ke muka pengadilan.
“Bukan hanya untuk kes ini sahaja tetapi untuk setiap kes di mana seseorang wanita telah diperkosa atau dicederakan.
“Masyarakat menuntut keadilan,” tegasnya sekali lagi. – MediaUMNO