Siapa Akan Ke Tanjung Rambutan? Soal Puad

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Jelas berbeza semangat ‘setiakawan’ antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir (Tun M) Mohamad dengan Penasihat Dap, Lim Kit Siang dan Tun M dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sindir Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Katanya, ini bersandarkan tindakan Tun Mahathir yang begitu kuat ‘cover line’ apabila menafikan Kit Siang yang mencadangkan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi mencuri sepuluh peratus undi dari ahli UMNO.

“Orang yang buat tuduhan itu boleh pergi ke Tanjung Rambutan kata Mahathir. Lim Kit Siang pula menafikan dia pernah menuduh Tun M sebagai bapa rasuah.

“Hebat ‘setiakawan’ antara Mahathir-Lim Kit Siang umpama asam di darat ikan di laut, di dalam belanga bertemu juga. Kalau dah jodoh tidak kira bermusuhan atau berlainan bangsa serta keturunan, mereka akan berkahwin jua.

“Nampaknya macam tidak ada jodoh antara Mahathir-Anwar. Walaupun seketurunan dan seagama. Ia umpama durian di darat, ikan dilaut, di dalam belanga jadi tempoyak. Baunya tidak semua orang suka walaupun ada yang suka,” sinisnya dalam satu status di Facebook.

Tambah Puad, ini berbeza sikap Tun Mahathir dengan Anwar.

“Bila Anwar kata, Tun bekerja kena ikut polisi Pakatan, Tun menjawab, semua pemimpin Pakatan kena ikut Ketua. Kalau tak ikut, kita belasah.

“Sedikit pun tidak ada perasaan untuk ‘cover line’. Nampaknya setiakawan Mahathir-Lim Kit Malam (Siang) akan menggelapkan lagi peluang Anwar untuk jadi PM. Dap pula akan terus mendalangi PH.

“Kita lihat, siapa yang akan ke Tanjung Rambutan,” bidasnya lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit