Kerajaan Sepenggal, PH Terperangkap Dalam Janji-janji Sendiri – Ismail Sabri
KUALA LUMPUR, 12 Julai – Memasuki tahun kedua pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), rakyat sudah membicarakan PH sebagai kerajaan sepenggal ekoran kegagalan mereka mengurus negara dengan baik, gagal menunaikan janji-janji manifesto serta ketiadaan polisi baharu bagi menjaga kepentingan rakyat.
Perkara tersebut didedahkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Diskusi Parlimen bersamanya yang disiarkan secara langsung malam tadi di Facebook UMNO-Online, hinggakan katanya ramai rakyat mengadu kepadanya tidak sabar menunggu pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) bagi menukar kerajaan sedia ada.
“Ramai yang menganggap kerajaan yang ada hari ini, kerajaan sepenggal. Dari segi ‘trend’ memang jelas ramai yang tanya bila pilihan raya hendak diadakan, cepatlah sikit…tak sabar nak tukar kerajaan.
“’Trend’ itu bukan sahaja berlaku di luar bandar malah di bandar apabila kos sara hidup semakin meningkat. Di luar bandar kebergantungan hidup bergantung kepada harga komoditi, harga komoditi semuanya merudum.
“Jadi tak puas hati semakin lama kos hidup semakin tinggi di kalangan rakyat dan tentu sahaja memberi kesan kepada seluruh keluarga termasuk anak-anak,” ujar Ahli Parlimen Bera itu lagi.
Bukan itu sahaja jelas Ismail yang juga Naib Presiden UMNO, PH kini terperangkap dengan janji-janji mereka sendiri ketika kempen PRU-14 lalu seperti isu penghapusan tol.
“Bukan setakat tol, malah segala-galanya menunjukkan ketidakmampuan mereka mengurus. Sebenarnya kerajaan hari ini terperangkap dengan janji-janji mereka. Walaupun kita telah terangkan dengan jelas waktu itu (ketika menjadi kerajaan), untuk mengambil alih tol kita mempunya perjanjian dengan pemegang konsesi dan tidak boleh mengambil begitu sahaja kerana terpaksa membayar dengan bayaran yang besar kepada mereka.
“Dan jika kita membayar kepada mereka ianya akan memberi kesan kepada yang lain (contoh) dari segi pembangunan kerana duit untuk pembangunan mungkin digunakan untuk membayar konsesi dan setengah konsesi itu telah kita panjangkan tempoh konsesi kerana kita tidak benarkan kenaikan.
“Perjanjian konsesi pada zaman perdana menteri keempat dia memberikan setiap lima tahun akan ada ‘review’ kenaikan tol dan kalau kita tidak mahu naikkan kita kena bayar ganti rugi kepada pemegang konsesi. Oleh kerana kita tak nak bayar, kita lanjutkan tempoh. Kalau kita nak ambil balik, tempoh itu juga termasuk dalam pengiraan kos bayar kepada mereka. Jadi kita telah terangkan kepada rakyat, kita akan ambil tol-tol ini secara beransur-ansur. Sebab itu ada tol kita telah hapuskan seperti Tol Batu Tiga, Tol Sungai Rasau dan sebagainya.. itu betul ‘toll free’ kerana telah dirobohkan tak perlu bayar tol,” jelasnya panjang lebar.
Ismail turut bersetuju dengan pandangan moderator, Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid bahawa ia berbeza dengan tindakan kerajaan PH yang mengambil alih konsesi empat lebuhraya kononnya menghapuskan tol tetapi menggantikan dengan nama caj kesesakan dan akhirnya rakyat menanggung selama-lamanya.
“Sebab itu saya kata tadi, mereka tak boleh buat tapi kerana janji mereka terpaksa dan janji mereka itu janji bohong dan kita telah beri penjelasan dan takkan dia tak tahu langsung… apa yang mereka buat semua berdasarkan pembohongan.
“Sebab itu bila dikata kerajaan sepenggal itu bermaksud kerajaan yang dibina atas pembohongan dan fitnah tidak akan kekal lama, akhirnya orang akan sedar,” tegasnya.
Mengambil contoh lain kata Ismail lagi seperti menghapuskan hutang pinjaman pelajaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Kita kata tidak boleh batalkan PTPTN kerana berbilion-bilion kerajaan terpaksa tanggung. Kalau batalkan, bagi pemohon baharu kerajaan akan kena keluarkan dana yang baharu sebab dulu kita ‘rolling’ duit yang kita terima daripada pembayar.
“Dulu kita ada insentif siapa yang bayar cepat kita turunkan 30 peratus dan sebagainya…tapi sekarang dah tidak ada dan akhirnya sekarang ini pembayaran jauh lebih teruk daripada zaman kita memerintah dahulu,” ujarnya.
Dilaporkan dalam media perdana semalam, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan yang juga ahli majlis pimpinan pusat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata adalah Mustahil untuk memansuhkan bayaran semula pinjaman pelajaran tersebut.
Begitu juga dengan hutang Felda, kata Ismail lagi.
“Jadi, banyak perkara yang dijanjikan tidak betul seperti juga Felda…dulu janji kalau menang akan hapuskan hutang. Sekarang tak hapus hutang malah mereka tetap kena bayar walau pendapatan turun.
“Dulu waktu kita perintah kalau pendapatan kurang dari RM1,500 hutang akan ditangguhkan. Mereka berjanji hanya kerana untuk menipu rakyat,” bidasnya.
PH juga katanya sering memanipulasi hutang negara yang kini semakin bertambah daripada RM686 bilion menjadi RM800 bilion hasil daripada ketidakmampuan mereka mengurus tadbir negara.
“Rakyat sudah jemu dengar tuduhan mengenai kerajaan lama. Mereka sudah memerintah buatlah sesuatu untuk memberikan kebajikan kepada rakyat, menaikkan taraf hidup rakyat dan buat yang lebih baik dari kerajaan dahulu tapi tak buat.
“Polisi tidak ada yang baharu, polisi untuk masyarakat luar bandar tidak ada… Bila ada masalah harga komoditi apa yang mereka umum? Tanam buluh, minum minyak kelapa sawit,” sinisnya. – Media UMNO