Rogol: Wanita UMNO Desak Siasatan Telus, Jangan Ada Campur Tangan Politik

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Wanita UMNO Malaysia mendesak agar pihak berwajib segera menyiasat tanpa prejudis dakwaan merogol pembantu rumah warga Indonesia yang melibatkan seorang ahli EXCO kerajaan negeri Perak.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata siasatan yang adil dan telus perlu dilakukan segera memandangkan pengesahan dakwaan tersebut telahpun dibuat oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, ACP Choo Lily.

“Wanita UMNO mahu kerajaan memastikan tidak berlaku sebarang campur tangan politik terhadap siasatan yang akan dilakukan,” tegas beliau dalam kenyataan media hari ini.

Ini kerana katanya, mutakhir ini, sistem perundangan negara tidak dihormati terutama apabila berlakunya keputusan-keputusan yang melibatkan individu yang berkaitan dengan kerajaan, malahan, keputusan mahkamah jelas tidak dihormati.

“Namun, wanita UMNO masih percaya pihak berkuasa akan menjalankan tugas mereka dengan telus dan adil tanpa menyembunyikan sebarang fakta,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong.

Dilaporkan, Exco kerajaan negeri yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Dap itu terpalit dengan tuduhan rogol setelah pembantu rumahnya membuat laporan polis kelmarin.

Difahamkan, mangsa yang berusia 20-an itu membuat laporan polis selepas suspek melakukan perbuatan tersebut sehari sebelum itu di sebuah kediaman di Meru. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit