Dap Tak Peduli Siapa PM… Yang Penting Jawatan AG, MoF Milik Mereka
KUALA LUMPUR, 9 Julai – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpandangan Penasihat Dap, Lim Kit Siang tidak peduli siapa yang menjawat jawatan Perdana Menteri (PM).
Bagi Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dakwa Puad adalah jawatan Menteri Kewangan dan juga Peguam Negara mestilah ditentukan oleh Dap.
“Itu dua jawatan paling berpengaruh. Peguam Negara akan menentukan kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lengkap atau tidak. Dia juga akan menentukan seseorang akan didakwa atau tidak.
“Bahkan dia juga berkuasa menggugurkan pertuduhan terhadap seseorang seperti kes Lim Guan Eng.
“Lim Kit Siang juga mahu jawatan Menteri Kewangan kekal pada Dap. Maka banyaklah agenda mereka tercapai. Sekarang ini Guan Eng banyak menjual aset yang melibatkan kepentingan Melayu seperti aset Tabung Haji dan Khazanah Nasional,” ujarnya dalam Facebook.
Puad berkata demikian mengulas mengenai beberapa spekulasi yang timbul ekoran perjumpaan Kit Siang bersama Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pada minggu lalu di Putrajaya.
“Ada kata, mereka bincang pasal kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri. Kit Siang pernah ugut Mahathir, iaitu dia akan bersara terus dari politik jika Anwar tidak dapat jadi PM.
“Tetapi menurut sumber, apa yang dibincang adalah sebaliknya. Sebenarnya Lim Kit Siang tidak kisah Anwar jadi PM atau tidak. Dap cuma mahu calon Peguam Negara dan jawatan Menteri Kewangan ditentukan oleh Dap,” ujarnya.
Tambah Puad, dengan dua jawatan tersebut sahaja sudah memadai Dap menjadikan Kerajaan Pakatan Harapan sebagai boneka mereka. – MediaUMNO.