Shahidan Dilantik Pengerusi BPUN Perlis, Mat Nadzari Pengerusi BPUN Selangor

BATU PAHAT, 5 Julai – Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis sementara Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan pula dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor.

Perkara sedemikian diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sebagaimana yang diamanahkan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Selaras dengan Fasal 12.5 Perlembagaan UMNO, Presiden bersetuju melantik Datuk Seri Dr Shahidan Kassim sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, manakala Datuk Zahidi Zainul Abidin kekal sebagai Timbalan Pengerusi.

“Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor pula ialah Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan Timbalan Pengerusinya Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin,” katanya.

Annuar berkata demikian dalam sidang media sejurus selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong, di sini hari ini.

Turut sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad, Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr Noraini Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan.

Jelas Annuar lagi, pelantikan tersebut berkuatkuasa serta-merta hari ini sehingga tempoh Majlis Kerja Tertinggi bagi penggal ini. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit